MAKSUD PERJANJIAN DAN JANJI DALAM SAYYID AL-ISTIGHFAR (PENGHULU ISTIGHFAR)
IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-458:
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
27 Januari 2020
Soalan:
Assalamualaikum al-fadhil ustaz. Kita biasa membaca Penghulu Istighfar yang berbunyi:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Yang bermaksud: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku berpegang dengan perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui dosaku kepada-Mu dan aku akui nikmat-Mu kepadaku, maka ampunilah daku. Sebab tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain-Mu, dan aku meminta ampun dari segala yang pernah aku perbuat.”
Apakah maksud al-`ahd dan al-wa’d yang diterjemahkan sebagai perjanjian dan janji dalam konteks hadis di atas?
Jawapan:
Waalaikumsalam wrm. wbt.
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Hadis di atas diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus secara marfuk kepada Rasulullah ﷺ dan dimasukkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahih-nya (no.6306). Antara fadilat membacanya dengan meyakininya ialah jika dia mati pada hari itu maka akan dikira sebagai ahli Syurga.
Dalam menghuraikan hadis ini, berkata Imam Ibn Battal dalam Syarah Sahih al-Bukhari (10/76): “al-`Ahd bermaksud perjanjian yang Allah ambil daripada hamba-hambanya ketika penciptaan mereka yang mula-mula, semasa Dia mengeluarkan mereka daripada sulbi bapa mereka (Adam) seumpama zarah dan menyaksikan mereka bersaksi atas diri mereka sendiri: "Bukankah Aku tuhan kamu? Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami).” Maka mereka mengakui ketuhanan Allah ketika mereka berada dalam keadaan asal kejadian, mereka tunduk dan patuh pada sifat Wahdaniyah-Nya. Manakala al-wa`d bermaksud janji Allah Taala kepada mereka bahawa barangsiapa dalam kalangan mereka yang mati dalam keadaan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun, kemudian menunaikan apa yang telah difardukan Allah ke atasnya maka masuklah Syurga. Hendaklah setiap orang beriman itu berdoa kepada Allah Taala agar
mematikannya dalam (memegang kukuh) perjanjian tadi, serta dimatikan dalam iman, supaya dapat mengecapi apa yang telah dijanjikan Allah Taala bagi sesiapa yang mengotakan yang demikian itu, kerana mengikut cara Nabi ﷺ apabila berdoa untuk perkara itu. Ini juga serupa dengan apa yang diminta oleh para nabi AS dalam doa-doa mereka. Berdoa akan Nabi Ibrahim ﷺ:
وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَن نَّعْبُدَ الْأَصْنَامَ
Maksudnya: “dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.”
(Surah Ibrahim: 35)
Dan berkata (Nabi) Yusuf:
تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ
Maksudnya: “sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".”
(Surah Yusuf: 101)
Dan doa Nabi kita:
وَإِذَا أَرَدْتَ فِي النَّاسِ فِتْنَةً فَاقْبِضْنِي إِلَيْكَ غَيْرَ مَفْتُونٍ
Maksudnya: “Dan jika Engkau (Allah) berkehendakkan berlaku fitnah dalam kalangan manusia, maka cabutlah nyawaku untuk menemuimu dalam keadaan selamat daripada fitnah.”
RIwayat Malik dalam al-Muwatto’ (no.40)
Beginda mengajarkan umatnya dengan sabdanya:
أَنَا عَلَى عَهدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسِتَطَعْتُ
Maksudnya: “Aku menetapi perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku.”
Daripada kenyataan di atas, boleh kita fahami bahawa kaliamah al-`ahd bererti perjanjian yang dibuat oleh manusia sewaktu berada di alam roh dengan Allah Taala agar sentiasa bertauhid dan melaksanakan perintah-Nya. Manakala al-wa`d merujuk kepada janji Allah Taala bahawa manusia yang melaksanakan segala yang diperintah oleh-Nya dijanjikan untuk masuk ke Syurga.
Berkata Ibn Hajar Al-Asqalani dalam Fath al-Bari (11/100):
“Dan perkataan Ibn Battal “dan menunaikan apa yang telah difardukan” adalah tambahan yang bukan menjadi syarat dalam konteks ini. Ini kerana Rasulullah menjadikan maksud bagi al-‘ahd ialah mithaq (perjanjian yang termeterai) yang diambil pada Alam Dzar (alam ruh) yakni tauhid secara khusus, manakala al-wa`d ialah janji untuk memasukkan sesiapa yang mati dalam keadaan demikian (berpegang teguh dengan perjanjian untuk bertauhid) ke dalam Syurga. Berkata lagi Ibn Battal tentang “sesuai dengan kemampuanku” bermaksud Nabi mengajar umatnya tentang hakikat bahawa seseorang itu tidak akan mampu untuk melaksanakan semua kewajiban kerana Allah dan tidak mampu menepati janji untuk melaksanakan semua ketaatan dengan sempurna serta bersyukur dengan segala nikmat, maka Allah pun bersifat lembah lembut kepada para hambanya dengan tidak memberikan tanggungjawab kepada mereka melainkan berdasarkan kemampuan mereka.”
Keterangan di atas bermaksud, bahawa Allah mengetahui keadaan manusia yang lemah untuk melaksanakan semua arahan justeru meletakkan piawai ketaatan itu berdasarkan kemampuan manusia. Ini juga merupakan adab yang diajar oleh Rasulullah ﷻ kepada kita semasa berdoa untuk mengakui kelemahan diri kita dan berharap agar Allah Taala belas kasihan terhadap kita terhadap segala kekurangan kita dalam melalukan ketaatan. Wallahua’lam.
Semoga penjelasan ini memberikan kita motivasi untuk memperbanyakkan ibadah dan mengelokkannya semata-mata kerana Allah ﷻ. Aamiin