Di kala Aminah melahirkan bayinya,
Dunia terang bermandikan cahaya,
Cahaya yang amat kita perlukan,
Petunjuk jalan kebahagian.
(Syair Al-Abbas bin Abdul Mutalib)
Kelahiran
Keheningan pagi Isnin, 12 Rabiulawal, Tahun Gajah bersamaan 20 April 571 Masihi seisi alam Makkah al-Mukarramah dikejutkan dengan suara tangisan seorang bayi lelaki. Lahirnya diterangi dengan cahaya petanda dirinya bakal menerangi seluruh alam sebagai Rasul terakhir. Begitulah istimewanya kelahiran putera Siti Aminah dan Abdullah.
Fatimah al-Thaqfiyah yang menyaksikan kelahiran nabi junjungan berkata, “Saya saksikan ketika Siti Aminah melahirkan bayi yang kemudian ternyata menjadi pemimpin dunia. Saya lihat rumah tempat bayi itu dilahirkan bermandikan cahaya. Bintang-bintang kelihatan sangat dekat, sehingga saya bimbang kalau-kalau bintang itu jatuh di atas kepala saya.”
Kelahiran Nabi Muhammad SAW disambut dengan gembira oleh keluarganya terutamanya Abdul Muttalib. Seminggu kemudian, datuknya Abdul Muttalib mengadakan jamuan sempena memberi nama seperti yang dimimpikan oleh Siti Aminah iaitu Muhammad yang membawa maksud orang yang terpuji.
Oleh kerana keturunan Baginda adalah mulia di kalangan Quraisy, kita tidak temui isi keturunan menjadi bahan celaan mereka terhadap Baginda. Kaum Quraisy tidak menafikan betapa tingginya darjat dan susur galur keturunan baginda. Ini disebabkan kemuliaan keturunan Baginda cukup jelas kepada mereka. Banyak riwayat menceritakan Quraisy telah mencela baginda dengan banyak isu yang direka-reka tetapi bukan membabitkan isu keturunan.
Salasilah ringkas keturunan Rasullullah SAW (klik untuk pembesaran imej)
Nabi Muhammad kemudiannya disusui oleh jariah (hamba perempuan) Abu Lahab, bernama Thuwaibah al-Aslamiyah. Selepas beberapa hari, Nabi Muhammad S.A.W diserahkan pula kepada Halimatusaadiah dari perkampungan Bani Sa’ad. Kampung itu jauhnya kira-kira 50 km dari Makkah ke arah Taif. Adat menyerahkan bayi kepada ibu susu ini merupakan kebiasaan bangsawan Arab. Nabi Muhammad S.A.W berada di bawah jagaan Halimatusaadiah sehingga usia nabi mencecah empat tahun.
Baginda menghabiskan empat tahun pertama zaman kanak-kanak di padang pasir, di perkampungan Bani Saad. Oleh itu Baginda membesar dengan tubuh yang kuat, jasmani yang sejahtera, lidah yang bersih, jiwa yang berani dan mampu menunggang kuda dengan baik sekali pun masih kecil usianya. Bakat-bakat baginda terasah dalam kemurnian dan keheningan padang pasir di bawah kilauan pancaran matahari dan udara bersih.
Sepanjang masa Muhammad tinggal bersama-samanya, hidup Halimatusaadiah sekeluarga menjadi senang, rezekinya bertambah, kambingnya membiak dan kebunnya menjadi. Malah, dikisahkan Halimah sendiri merasa hairan kerana kambingnya tiba-tiba saja menjadi gemuk semenjak kedatangan Muhammad. Itulah keajaiban Tuhan, memberi petanda bahawa Muhammad itu bukan insan biasa sebaliknya bakal pembawa cahaya dan kebenaran.
Muhammad pula begitu sihat dan cerdas. Dia hidup di kalangan masyarakat yang tidak terpengaruh dengan amalan menyembah berhala dan melakukan maksiat. Muhammad dapat mempelajari bahasa Arab yang tulen. Dia juga dapat mempelajari cara hidup masyarakat desa yang hidup bertani dan menternak kambing serta kaya dengan budi bahasa dan beradab.
Dada Rasulullah Dibedah Jibril A.S
Tempoh dua tahun telah berlalu, tiba sudah saat Baginda dikembalikan kepada Siti Aminah. Namun berat sekali rasanya untuk Halimatusaadiah melepas anak susuannya pergi. Lantas dipujuk Siti Aminah agar dapat memberi keizinan memelihara Nabi barang setahun dua lagi. Tambahan pula, rasa kasih pada Muhammad sudah melebihi anak sendiri. Akhirnya, Halimatusaadiah berjaya memujuk Siti Aminah untuk terus memelihara walaupun anak susuannya itu telah habis tempoh penyusuannya, iaitu dua tahun.
Dikatakan ketika baginda berusia dalam lingkungan empat atau lima tahun maka berlakulah peristiwa ajaib iaitu dada baginda dibedah oleh malaikat.
Muslim meriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah pernah didatangi malaikat Jibril ketika baginda masih kanak-kanak dan sedang bermain dengan kanak-kanak sebaya yang lain.
Jibril yang lazimnya muncul dalam rupa seperti manusia telah menangkap baginda lalu tanpa membuang masa, dada Nabi Muhammad telah dibelah terutama di bahagian organ hati lalu dikeluarkan organ itu.
Daripada organ itu, Jibril telah mengeluarkan sebuku darah, sesetengah riwayat mengatakan sebuku darah itu berwarna hitam lalu mereka berkata: “Inilah bahagian syaitan yang ada padamu!”
Lalu organ hati itu dimasukkan ke dalam sebuah tembikar emas lalu dibasuhkan hati itu dengan air zam zam. Hati yang telah dicuci bersih itu kemudiannya dikembalikan semula ke tempat asalnya dan dada Rasulullah dicantumkan semula. Rasulullah SAW dikatakan terpinga-pinga dengan kejadian yang menimpa baginda itu. Tetapi berbeza dengan mereka yang menyaksikan bagaimana Nabi Muhammad telah ditangkap dan dibedah dadanya itu.
Belum sempat mereka menyaksikan kejadian itu sehingga habis dan Jibrail hilang dari pandangan, dalam serba ketakutan rakan-rakan Rasulullah itu kemudiannya berlari kepada ibu susu baginda, Halimah dan memberitahu bahawa Nabi Muhammad telah dibunuh oleh seorang lelaki. Mereka berkata dengan cemas: “Muhammad telah dibunuh! Muhammad telah dibunuh!”
Lalu apabila mereka kembali semula ke tempat kejadian, didapati Nabi Muhammad berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. Kejadian yang penuh makna itu, bagaimanapun telah menimbulkan kebimbangan di hati Halimah. Beliau begitu bimbangkan mengenai soal keselamatan Nabi Muhammad dan jika terjadi sebarang yang tidak diingini tentu sahaja beliau tidak dapat melindungi anak yatim itu.
Ini menyebabkan Halimah merasakan sudah tiba masanya beliau terpaksa juga berpisah dengan Rasulullah demi kebaikan anak itu sendiri. Walaupun perpisahan itu bakal mencalarkan kebahagiaan beliau selama ini kerana dapat membesarkan seorang anak yang sebaik Rasulullah. Namun beliau sedar anak susuannya perlu kembali ke tempat asal usulnya di mana baginda dilahirkan dahulu.
Mulianya tingkah laku Nabi Muhammad S.A.W seawal kecil sudah jelas terpancar apabila dia pernah menolong budak yang diusik oleh budak-budak nakal dan diajaknya ke rumah ibu susunya. Dia merelakan bajunya diberikan kepada budak yang malang itu. Ketika usianya lima tahun dia dikembalikan kepada ibunya, Siti Aminah.
Berpisahlah Halimatul Saadiah dengan anak susuan yang selama ini menjadi penyeri hatinya. Sudah bertaut kasih dan sayang di hatinya terhadap Muhammad sehingga kalau boleh tidak ingin lagi mereka terpisah. Bagi Nabi Muhammad, jasa ibu susuannya itu tetap dikenang sehingga baginda pernah bersabda yang bermaksud; “Bahawa dia (Halimatus Saadiah) adalah ibuku setelah ibuku sendiri”
Kehilangan Bonda Tercinta
Baginda membesar sebagai anak yatim. Bapa Baginda, Abdullah meninggal dunia ketika ibu baginda baru mengandungkan baginda dua bulan. Abdullah telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan pulang berniaga dari Syam.
Tinggallah Nabi Muhammad SAW bersama ibunya. Baginda diasuh oleh ibunya dengan belaian kasih sayang. Apabila usianya menjangkau enam tahun ibunya membawanya pergi ke Yathrib (Madinah) dengan tujuan menziarahi saudara maranya yang mendiami Yathrib, agar Nabi Muhammad S.A.W dapat berkenalan dengan saudara-saudaranya. Di samping menziarahi kubur ayahnya iaitu Abdullah yang dikebumikan di sana. Inilah kali pertama, Nabi bakal ‘bertemu’ dengan ayah yang amat dirinduinya. Meski hanya melihat tanah kuburan tetapi itu sudah cukup bagi menghilangkan kesepian hati seorang anak yatim yang tidak pernah menerima kasih sayang seorang ayah.
Pemergian mereka berdua turut diiringi oleh Ummu Aiman. Dalam perjalanan pulang ke Makkah, Siti Aminah jatuh sakit dan meninggal dunia lalu dikebumikan di Abwa. Saat paling menyedihkan sekali lagi menimpa nabi. Ibunya pula menyusul pergi menghadap Ilahi. Tiada apa yang mampu dikatakan anak sekecil itu ketika melihat ibu sendiri menghembuskan nafas di depan mata. Ketika sakit tenat, Aminah sempat berpesan kepada anak kesayangannya “Ya Muhammad, kun rajullan, li annanni saamutu”. (Wahai Muhammad, jadilah seorang lelaki sejati kerana sesungguhnya aku akan mati).
Pesanan itu amat bermakna walau Nabi masih kecil untuk mengerti. Bayangkan kesedihan yang terpaksa ditanggung oleh nabi. Usianya baru saja enam tahun, masih inginkan pelukan manja dan perhatian sempurna daripada ibu tercinta. Apakan daya, Allah SWT nyata ingin menguji kesabaran Nabi.
Maka pulanglah Nabi Muhammad SAW bersama Ummu Aiman ke Makkah. Nabi Muhammad SAW kini sudah menjadi yatim piatu. Kasih ayah tidak dirasainya, kasih ibu sebentar sahaja. Hanya kasih Allah kekal abadi terhadapnya.
Setelah ibunya meninggal dunia, Nabi kemudiannya dijaga oleh datuknya, Abdul Muttalib. Kasih sayang Abdul Muttalib kepada cucunya melimpah ruah. Sangat sedih dihatinya apabila mengenang cucu kesayangan kini sudah tiada belaian ayah dan bonda. Sayu sekali rasanya setiap kali melihat Muhammad termenung apabila sesekali teringatkan ibunya Aminah yang sudah pergi. Kerana itu, Abdul Muttalib sangat melebihkan Muhammad di dalam setiap layanannya. Bagi Muttalib, Muhammadlah buah hati utama, pengarang jantung di kala suka dan duka. Jika boleh, ingin diberinya kasih sayang yang melimpah ruah agar Muhamamad tidak merasa kekurangan dirinya yang yatim piatu. Begitu sekali kasih sayang Abdul Muttalib kepada Nabi Muhammad SAW.
Bagi Abdul Muttalib, Nabi Muhammad SAW adalah cucunya yang paling istimewa sehinggakan Nabi Muhammad SAW diberi tempat yang terhormat dalam majlis-majlis yang diadakan. Pernah Abdul Muttalib menyuruh anak-anaknya memberikan tempat duduk mereka kepada Nabi Muhammad SAW.
“Kamu mesti mendudukkan Muhammad semula ke tempatnya, di tengah-tengah. Muhammad buah hati, belahan jiwaku…,” beritahu Abdul Muttalib.
Keunggulan baginda telah dikatakan sejak kecil lagi. Tampak pada raut wajahnya tanda-tanda kecerdikan yang menimbulkan rasa sayang kepada sesiapa yang melihat baginda. Apabila Nabi datang ke majlis datuknya semasa kanak-kanaknya, baginda duduk di atas tilam datuknya. Sedangkan jika datuknya duduk di atas tilam itu, tiada seorang anak-anaknya (bapa saudara nabi) akan duduk di atasnya. Oleh itu bapa saudara baginda cuba menariknya daripada tilam tersebut. Lantas Abdul Muttalib berkata ,”Biarkan cucuku ini. Demi Allah dia memiliki keistimewaan.”
Semasa di bawah asuhan datuknya, Nabi Muhammad menunjukkan sikap terpujinya. Dia pernah membantu orang yang lapar dan miskin mendapatkan bantuan daripada datuknya, walapun orang itu memasuki rumahnya (ibunya) tanpa izin. Malahan baginya orang itu dianggapnya sebagai tetamunya.
Nabi Muhammad SAW tidak terpengaruh dengan cara hidup orang Makkah yang suka berpesta dan berfoya-foya. Dia hanya menghargai sesuatu yang bermutu misalnya pidato Qis. Dalam pidato itu Qis memperingatkan orang akan erti hidup dan mati.
Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Begitu juga dengan Abdul Muttalib yang sudah tua. Bimbang sekali hatinya memikirkan bagaimana nasib Muhammad setelah ketiadaannya. Cepat-cepat Abdul Muttalib menyampaikan wasiat kepada Abu Talib agar kelak dapat menjaga Muhammad. Akhirnya perpisahan itu tiba juga. Abdul Muttalib meninggal dunia ketika berusia 95 tahun. Ketika itu Nabi Muhammad S.A.W berusia lapan tahun. Sekali lagi perpisahan dengan orang tersayang dirasai Nabi. Kesedihannya terpaksa ditanggung sendiri. Datuk yang selama ini menatangnya bagai minyak yang penuh juga sudah pergi.
Di bawah Didikan Abu Talib
Selepas pemergian datuknya, Abdul Muttalib, bapa saudaranya Abu Talib menerima wasiat Abdul Muttalib untuk menjaga Nabi Muhammad SAW. Dia menerima wasiat itu dengan penuh rasa tanggungjawab dan Abu Talib ikhlas menjaga Nabi Muhammad S.A.W walaupun anak-anaknya sendiri sudah ramai.
Tinggallah Nabi Muhammad SAW di rumah bapa saudaranya itu. Nabi bukanlah seorang yang suka menumpang dan duduk berdiam diri. Malah Baginda seorang yang ringan tulang kerana sentiasa membantu saudara-saudara sepupunya membuat kerja rumah. Malah baginda mengambil upah menjaga kambing orang lain untuk membantu meringankan perbelanjaan keluarga Abu Talib. Sikapnya yang begitu menjadikan Abu Talib begitu sayangkannya.
Bukan sekadar itu sahaja, Nabi Muhammad SAW sanggup mengharungi padang pasir yang panas semasa mengikuti rombongan dagangan Abu Talib ke Syam. Padahal perjalanan itu tidak mudah dan begitu jauh, sedangkan usianya baru 12 tahun.
Ketika kafilah dagangan itu berhenti di Busra, Pendeta Bahira memberitahu Abu Talib akan tanda-tanda kerasulan yang ada pada Nabi Muhammad S.A.W. Katanya kepada Abu Talib, “Bawalah pulang anak saudaramu ini. Jangan sampai dia ditemui oleh Yahudi, nanti dibunuhnya. Anak ini kelak akan menjadi Nabi akhir zaman.”
Peperangan Fijar
Sewaktu Nabi Muhammad SAW berusia kira-kira 14 tahun, tercetus peperangan Fijar. Dinamakan Fijar kerana ia terjadi dalam bulan haram iaitu bulan Zulhijjah, Zulkaedah, Muharam dan Rejab. Peperangan ini sememangnya dicela kerana tidak menghormati bulan-bulan yang mulia ini.
Peperangan itu terjadi di antara suku Quraisy dan Kinanah dengan suku Hawazin dan Thaqif. Suku Quraisy Bani Hasyim dipimpin oleh al-Zubair bin Abu Muttalib; dibantu oleh Abu Talib, Hamzah dan al-Abbas. Manakala suku Hawazin dipimpim oleh Qais. Nabi tidak menyukai peperangan itu. Nabi Muhammad SAW tidak mahu terlibat dalam peperangan tersebut. Bagaimana pun setelah dipujuk dengan alasan membantu mempertahankan diri dan kaum Quraisy yang bertahan tidak menyerang, Nabi Muhammad SAW hanya melibatkan dirinya bersama-sama budak lain untuk mengumpulkan anak panah musuh. Anak panah itu diberikan kepada bapa-bapa saudaranya untuk dipanahkan semula ke arah musuh. Peperangan ini berlarutan sehingga empat tahun.
Sumpah Setia Damai
Peperangan ini mengundang kekesalan di kalangan pembesar suku kaum Quraisy. Mereka mula mencari jalan untuk berdamai. Zubair Bin Abdul Muttalib antara pembesar yang mahukan jalan perdamaian.
Nabi Muhammad SAW yang turut bersuara menyatakan baginda tidak menyukai peperangan dan kekejaman serta membayangkan untuk mengadakan perdamaian di kalangan penduduk Makkah. Pandangan baginda disambut baik oleh al-Zubair.
Justeru al-Zubair menyeru ketua-ketua suku kaum Quraisy untuk berkumpul dan membuat persetujuan bersama untuk hidup dalam aman damai dan tiada lagi peperangan. Perjanjian ini diadakan di rumah Abdullah bin Jud’an. Perjanjian ini dinamakan `Hilf al-Fudul’
Berniaga di Syam
Usia Nabi Muhammad SAW kini mencecah 25 tahun dan baginda sudah mempunyai pelbagai pengalaman dalam hidup. Baginda mahu berdikari dan terlibat di dalam dunia perdagangan.
Begitupun Baginda tidak mempunyai sebarang harta untuk diperdagangkan. Namun jiwanya sungguh besar dan mempunyai sifat dan keperibadian yang sungguh mulia. Berbekalkan jiwa dan sifat mulia dan luhur itu, Baginda menerima amanah dari Khatijah binti Khuwailid untuk memimpin kafilah dagangannya ke Syam. Kunjungannya ke Syam merupakan kunjungan kedua. Baginda ditemani Maisarah.
Nabi Muhammad SAW mengawal barang-barang dagangan yang dibawanya dengan berhati-hati. Setelah sampai ke Syam dia memilih tempat yang strategik untuk menjual barang-barang dagangannya.
Cara-cara Nabi Muhammad SAW menjual barang amat menarik. Dia menjelaskan keadaan sebenar barang-barang yang dibawanya dan membubuh tanda harga. Dia melayan pelanggan dengan mesra jujur dan ikhlas. Kerana sifat mulia itulah, Nabi akhirnya menjadi orang kepercayaan kepada Khadijah. Sifatnya yang amanah itu nyata sukar ditemui pada orang lain dan bermulalah gelaran “al-Amin” buat Nabi Muhammad SAW.
Begitulah antara cebisan kisah Rasul junjungan mulia kita dari kelahirannya sehingga berusia 25 tahun. Sejak kecil lagi, baginda sudah diuji dengan ujian yang sangat berat sehinggakan sukar sekali bagi kita membayangkan bagaimana baginda boleh membesar dengan begitu sempurna. Permulaan hidupnya yang dipenuhi kisah sedih adalah permulaan yang akhirnya membentuk Nabi Muhammad dengan sahsiah mulia dan bersemangat waja. Moga-moga kita mendapat pengajaran berharga daripada kisah ini.
_________________________________
Sumber :
Fiqh Al-Sirah 1,Tulisan Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti,diterjemah oleh Ustaz Mohamed Darus Sanawi Terbitan Dewan Pustaka Fajar 1983.
Ringkasan Riwayat Hidup Nabi Muhammad SAW (Abdul Rahman Rukaini), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1992
---