Ganjaran Melazimi Istighfar
Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Namun, Allah SWT hanya mengampuni hamba-Nya yang benar-benar memohon keampunan dan tidak mensyirikkan-Nya.
Maksud lafaz istighfar itu bukan sekadar menuturkannya di bibir, tetapi ianya satu pengakuan seorang hamba untuk memohon keampunan bukan sahaja terhadap dosa-dosa dan kesilapan yang telah dilakukan, bahkan terhadap sebarang kekurangan dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT. Seseorang Muslim akan sentiasa memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah SWT kerana itulah jalan orang yang bertaqwa.
Dengan beristighfar, Allah SWT akan akan mengurniakan keampunan dan manfaat bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat nanti syurga yang menanti. Lazimilah istighfar ibarat musafir di padang pasir yang keputusan bekalan makanan, yang bermain dibenak fikiran dan bibirnya hanyalah air. Begitulah sifat seorang mukmin yang sentiasa membasahi lidahnya tidak lain dan tidak bukan hanyalah istighfar.
Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT akan menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, dan daripada setiap kebimbangannya itu kelapangan dan dikurniakan kepadanya rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka”. (Hadith riwayat Abu Daud, No. 1518, Ibnu Majah, No. 3819, Ahmad, No. 2123).
Sumber: Portal myHadith JAKIM : Ganjaran Melazimi Istighfar
#istighfar #Sunnah #Hadis #SunanAbuDaud1518 #SunanIbnuMajah3819 #MusnadAhmad2123