Latest

Tuesday, July 23, 2024

Jadilah Ahli Al-Qur'an


Jadilah Ahli Al-Qur'an

Siapa tidak ingin menjadi ahli al-Qur’an? Inilah kedudukan hamba yang paling mulia dan tinggi di sisi Allâh Azza wa Jalla . Cukuplah hadis Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam berikut ini menunjukkan agungnya kedudukan ini:

Dari Anas bin Mâlik Radhiyallahu anhu beliau berkata: Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنَ النَّاسِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَنْ هُمْ؟ قَالَ: هُمْ أَهْلُ الْقُرْآنِ، أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ

“Sesungguhnya di antara manusia ada yang menjadi ‘ahli’ Allâh”. Para Sahabat Radhiyallahu anhum bertanya, “Wahai Rasûlullâh! Siapakah mereka?’ Beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, “Mereka adalah ahli al-Qur’an, (merekalah) ahli (orang-orang yang dekat dan dicintai) Allâh dan diistimewakan di sisi-Nya.

Hadis ini menunjukkan tingginya kedudukan dan kemuliaan orang-orang yang menjadi ahli al-Qur’an, kerana mereka disebut sebagai ‘ahli Allâh’. Ertinya merekalah para wali (kekasih) Allâh Azza wa Jalla yang sangat dekat dan istimewa di sisi-Nya, sebagaimana seorang manusia dekat dengan ‘ahli’ (keluarga)nya. Gelar ini merupakan bentuk pemuliaan dan pengagungan terhadap mereka.

Keutamaan dan kemuliaan besar ini tentu menjadikan setiap orang yang beriman kepada Allâh Azza wa Jalla dan hari akhir, berusaha untuk mengejar dan meraihnya. Apalagi Allâh Azza wa Jalla telah menjanjikan bahawa al-Qur’an akan Allâh Subhanahu wa Ta’ala jadikan mudah sebagai petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang beriman, termasuk dalam hal memahami kandungannya dan meraih kemuliaan sebagai ahlinya.

Rujukan/Sumber: Almanhaj

#Quran #AlQuran #AhliAlQuran

Di Sepertiga Akhir Malam


Di Sepertiga Akhir Malam

Di sepertiga akhir malam
Rembulan menyinari alam
Suasana tenang tenteram
Solat Tahajjud hidupkan malam
Baca Al-Quran maknanya faham
Beristighfar terangi hati yang kelam
Dengan berzikir jiwa tenteram
Keatas Rasulullah dipanjat selawat dan salam
Dekati Allah Tuhan sekalian alam.
Ahmad Sanusi Husain
Malaysia | Julai 2024

Pengenalan Ringkas Imam al-Bukhari RA



Pengenalan Ringkas Imam al-Bukhari RA

Nama sebenar beliau adalah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Ju’fiy al-Bukhari. Al-Bukhari adalah nisbah kepada tempat kelahiran beliau iaitu Bukhara yang terletak di Khurasan. Tambahan pula, Bukhara merupakan sebuah bandar lama, luas dan cantik. Kuniyah beliau adalah Abu Abdillah dan beliau terkenal dengan gelaran imam ahli hadith atau amir al-Mu’minin dalam hadith. Beliau lahir pada 194 Hijrah di bandar Bukhara.

Tambahan pula, imam al-Bukhari merupakan seorang anak yatim apabila ayahnya Ismail telah meninggal dunia ketika usia beliau masih kecil. Disebabkan itu, ibunya mengambil peranan dalam mendidik dan membesarkan imam al-Bukhari. Imam al-Bukhari sejak kecil lagi sudah cenderung untuk menghafaz hadith-hadith nabi SAW dan juga mempelajari ilmu-ilmu agama yang lain. Ini kerana, keluarganya merupakan sebuah keluarga yang amat menitikberatkan ilmu pengetahuan sebagaimana ayahnya merupakan seorang yang terkenal dengan keilmuannya.

Imam al-Bukhari merupakan seorang yang rajin menghadiri majlis-majlis atau halaqah-halaqah ilmu. Ketokohan imam al-Bukhari dalam bidang hadith sudah menonjol sejak beliau masih kecil lagi apabila kisah beliau menegur seorang guru yang ahli hadith ketika guru tersebut sedang menyampaikan pengajian. Guru tersebut adalah al-Allamah al-Dakhili, di mana beliau tersalah dalam meriwayatkan sanad hadith. Dikatakan usia imam al-Bukhari pada ketika itu adalah 11 tahun. Berdasarkan apa yang telah dinyatakan di atas, kita ketahui bahawa imam al-Bukhari merupakan seorang yang cerdik dan rajin dalam menuntut ilmu. Ini dapat dilihat ketika usia beliau masih kecil lagi. Tambahan pula, kesungguhan beliau ini diteruskan dengan rehlah-rehlah ilmiah yang telah ditempuhi oleh imam al-Bukhari semata-mata untuk menuntut ilmu dan mencari hadis Nabi SAW.

Guru-Guru Imam al-Bukhari

Antara guru-guru imam al-Bukhari ialah:

Ali bin al-Madini
Ahmad bin Hanbal
Yahya bin Ma'in
Ishak bin Rahawaih
Qutaibah bin Sa’id
 
Murid-Murid Imam al-Bukhari

Antara murid-murid imam al-Bukhari adalah:

Imam al-Tirmizi
Imam al-Nasa’ie
Imam Muslim
Imam Ibn Khuzaimah
Abu Zur’ah al-Razi
Abu Hatim al-Razi

Telah berkata Ahmad bin Hanbal rahimahullah:
“Khurasan tidak pernah mengeluarkan atau melahirkan insan sehebat Muhammad bin Ismail”.

Telah berkata Imam al-Darimi rahimahullah:
“Aku telah melihat ulama’ di Haramain, Hijaz, Syam dan Iraq tetapi aku tidak pernah melihat mereka semua melainkan Muhammad bin Ismail al-Bukhari lebih hebat daripada mereka”.

Telah berkata Imam Muslim rahimahullah:
“Biarkan aku mencium kedua kakimu wahai guru kepada sekalian guru, ketua kepada sekalian ahli hadith dan pakar dalam ilmu ‘ilal (kecacatan) hadith”.
 
Telah berkata Abu Hatim al-Razi rahimahullah:
“Khurasan tidak pernah menghasilkan seseorang yang lebih kuat hafalannya berbanding Muhammad bin Ismail dan tidak ada yang datang dari Khurasan menuju ke Iraq yang lebih alim daripadanya”.

Telah berkata imam al-Tirmizi rahimahullah berkata:
“Aku tidak melihat di Iraq dan Khurasan orang yang lebih alim tentang ‘illah-‘illah hadith, tarikh (sejarah) dan sanad-sanad daripada Muhammad bin Ismail al-Bukhari”.

Sebab Penulisan Sahih al-Bukhari

Terdapat dua sebab imam al-Bukhari menulis sahihnya sebagaimana yang dinyatakan:

Pertama: Guru beliau iaitu Ishak bin Rahawaih telah menyampaikan hasratnya atau mencadangkan kepada muridnya agar menghimpunkan hadith-hadith yang sahih, Maka, kata-kata itu sangat memberi kesan di dalam hatiku.
 
Kedua: Beliau (imam al-Bukhari) telah bermimpi bahawa beliau berdiri di sisi rasulullah SAW serta dalam masa yang sama, beliau mengipas rasulullah SAW. Setelah itu, beliau bertanya kepada penafsir mimpi berkaitan mimpi beliau. Penafsir mimpi mengatakan bahawa beliau akan menghalang pendustaan terhadap rasulullah SAW. Disebabkan itulah yang membuatkan aku untuk menghasilkan karya ini.

Manhaj Imam al-Bukhari

Imam al-Bukhari telah memilih hadith-hadith yang sahih untuk dimuatkan di dalam karya beliau ini. Akan tetapi, beliau tidak meletakkan kesemua hadith-hadith yang sahih kerana khuatir ia akan menjadi panjang (terlampau banyak hadith).

Selain itu juga, imam al-Bukhari akan memilih hadith-hadith yang bersesuaian dengan bab-bab yang terdapat di dalam sahihnya. Tambahan pula, imam al-Bukhari terkenal dengan manhaj ikhtisar (memendekkan teks atau matan hadith) iaitu beliau tidak mendatangkan matan hadith dengan penuh.

Jika melihat kepada nama sahih al-Bukhari, itu telah jelas menunjukkan manhaj imam al-Bukhari dalam menghasilkan karya beliau ini. Antaranya, al-Jami’ iaitu menghimpunkan, al-sahih iaitu hadith-hadith yang sahih, al-Musnad iaitu hadith-hadith yang mempunyai sanad yang bersambung kepada rasulullah SAW dan juga al-Mukhtasar iaitu memendekkan atau memotong matan hadith. Di samping itu, imam al-Bukhari telah memilih daripada 100 ribu hadith yang sahih untuk dimuatkan ke dalam karya beliau. Hal ini difahami melalui perkataan imam al-Bukhari sendiri:

أَحْفَظُ مِائَةَ أَلْف حَدِيْث صَحِيْح وَأَعْرِفُ مِائَتَيْ أَلْف حَدِيْث غَيْر صَحِيْح

Maksudnya: “Aku menghafal 100 ribu hadith yang sahih dan aku juga tahu 200 ribu hadith yang tidak sahih”.

Cara-Cara Imam al-Bukhari Menulis Hadith Di Dalam Sahihnya

Imam al-Bukhari sendiri mengatakan bahawa beliau tidak akan menulis hadith di dalam karyanya itu melainkan beliau akan membersihkan diri (mandi atau berwudhuk) terlebih dahulu dan solat dua rakaat. Solatnya ini merupakan solat Istikharah memohon pertolongan kepada Allah SWT agar menerima amalannya ini serta memberkatinya.
 
Tempat-Tempat Penulisan Kitab Sahih al-Bukhari

Imam al-Bukhari menulis kitab atau karyanya ini di beberapa tempat dan bukan di satu tempat sahaja. Hal ini diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar bahawa beliau (imam al-Bukhari) mula menulis dan menyusun bab-bab di dalam sahihnya di masjid al-Haram. Kemudian, beliau mula mengtakhrij hadith-hadith di dalam sahihnya di negerinya dan negeri-negeri yang lain. Disebabkan itu, sahih al-Bukhari ini dihasilkan dalam tempoh 16 tahun sebagaimana dikhabarkan oleh imam al-Bukhari sendiri.

Penyemakan Sahih al-Bukhari

Setelah imam al-Bukhari selesai menghasilkan karyanya, beliau tidak terhenti di situ. Bahkan beliau meminta ulama’ besar hadith di zamannya untuk menilai dan menyemak karyanya itu. Antara yang terlibat dalam menilai sahih al-Bukhari ini ialah Ali bin al-Madini, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma’in dan ramai lagi. Kesemua mereka bersaksi akan kesahihan hadith-hadith yang terdapat di dalam sahih al-Bukhari ini melainkan empat buah hadith sahaja. Cara ini digunakan juga oleh imam Malik bin Anas setelah beliau meminta 70 orang ulama’ di zamannya untuk menilai karya Muwattha’nya.

Sebab-Sebab Sahih al-Bukhari Lebih Utama Daripada Sahih Muslim

Terdapat beberapa sebab sahih al-Bukhari lebih utama daripada sahih Muslim, antaranya:

Syarat Imam al-Bukhari lebih ketat berbanding imam Muslim.
Imam al-Bukhari mengsyaratkan hadith ‘An’anah mestilah bersambung dan tidak terputus antara perawi.
Hadith yang dipertikai di dalam sahih al-Bukhari adalah lebih sedikit berbanding di dalam sahih imam Muslim.
Ketokohan imam al-Bukhari lebih terserlah berbanding imam Muslim dalam bidang hadith. Ini kerana, imam Muslim merupakan murid kepada imam al-Bukhari.
 
Syarat-Syarat Imam al-Bukhari

Berikut adalah syarat-syarat hadith Sahih yang telah disepakati oleh para ulama’ adalah:

Sanadnya bersambung.
Perawinya perlulah seorang yang adil (tidak berdusta).
Perawinya perlulah seorang yang sempura dhabitnya (ingatannya).
Tidak syaz (riwayatnya tidak bercanggah dengan riwayat perawi yang thiqah).
Tidak ada ‘illah (kecacatan).
 

Imam al-Bukhari telah menambah satu syarat yang ketat iaitu mesti berlaku pertemuan antara perawi (ثبوت اللقاء), manakala imam Muslim hanya mensyaratkan sezaman (المعاصرة) kerana kemungkinan berlaku pertemuan antara perawi-perawi kerana mereka sezaman.

Telah berkata imam Tajuddin al-Subki rahimahullah :
“Adapun kitabnya (al-Bukhari) al-Jami' al-Sahih adalah kitab Islam yang paling mulia selepas Kitabullah (al-Qur’an)”.

Telah berkata Ibn Salah rahimahullah:
“Sesungguhnya kitab al-Bukhari adalah kitab yang paling sahih di antara keduanya (sahih Muslim) dan yang paling banyak faedahnya”.

Telah berkata imam al-Nawawi rahimahullah:
“Para ulama’ telah bersepakat bahawa kitab yang paling sahih selepas al-Qur'an adalah sahih al-Bukhari dan sahih Muslim dan umat ini telah menerimanya. Kitab al-Bukhari adalah yang paling sahih daripada keduanya dan yang paling banyak faedah”.

Telah berkata syeikh al-Islam ibn Taimiyyah rahimahullah:
“Tidak ada di bawah permukaan langit ini kitab yang lebih sahih selepas al-Qur'an daripada sahih al-Bukhari dan Muslim”.

Penutup

Kesimpulannya, tidak disangkal lagi bahawa imam al-Bukhari merupakan seorang tokoh yang telah banyak berjasa dan keilmuan beliau dalam bidang hadith tiada tandingannya. Hal ini dapat dilihat apabila beliau telah berjaya menghasilkan sebuah karya yang cukup hebat dan agung sehinggakan kedudukannya selepas daripada al-Qur’an. Tambahan pula, ijma’ umat ini menerima bahawa hadith-hadith di dalam sahih al-Bukhari kesemuanya adalah sahih. Ini menunjukkan keberkatan dan keikhlasan beliau dalam menghasilkan karya ini. Akhirnya, semoga Allah SWT merahmati beliau dan semoga Allah SWT mengurniakan kita kesungguhan dan keikhlasan dalam memartabatkan sunnah Nabi SAW. Amin.

Wallahua'lam

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Malaysia) / Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (23 November 2016)

#Hadis #Hadith #ImamBukari #ImamHadis #Muhaddith #Muhaddis #SahihBukhari




Please Join my facebook's fan page