Latest

Thursday, October 11, 2012

Dan Dia (Allah) juga yang menjadikan matahari dan bulan...



Dan Dia (Allah) juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.  (Al-Quran, surah Ibrahim, 14:33)
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.net

Pengenalan Ilmu Hadith


Definisi Ilmu Hadith
Menurut Manna Qattan (lihat Mahabith fi Ulum al-Hadith), ilmu hadith bermaksud:
 هو علم بأصول وقاعد يعرف بها أحوال السند والمتن من حيث القبول والرد
“Ilmu yang mengandungi usul dan kaedah-kaedah untuk mengetahui tentang perihal sanadnya (rantaian periwayatan sesuatu hadith) dan matannya (teks hadith tersebut) sama ada ianya diterima ataupun ditolak”.
Itulah definisi ilmu hadith. Sedangkan definisi hadith itu sendiri menurut bahasa ialah “berita” atau “perkhabaran baru”. Sementara itu, perkataan hadith dalam Al-Quran telah disebutkan dengan membawa makna ‘percakapan’, ‘keterangan’, ‘mimpi’ dan ‘kisah’. Semua definisi ini benar berdasarkan pada konteks penggunaan perkataan ini dalam memahamkan maksud ayat tersebut.
Sungguhpun begitu, definisi hadith secara istilahnya, untuk diaplikasikan dalam ilmu hadith ialah: “Apa yang disandarkan kepada Rasululllah s.a.w baik daripada segi perkataan, percakapan, perbuatan, pengakuan, sifat akhlak dan juga sifat kejadian baginda”.
Tingkatan-Tingkatan Hadith
Ringkasnya, hadith-hadith boleh dibahagikan kepada tingkatan-tingkatan berikut:
  1. Sahih. Ini bermakna hadith ini benar-benar dibuktikan berasal daripada Rasulullah s.a.w. Ia wajib dijadikan sebagai sandaran dalam syariat Islam. Untuk sesuatu hadith itu menjadi sahih, ia perlu mempunyai ciri-ciri berikut:
    • Bersambung sanadnya sampai kepada Rasulullah s.a.w.
    • Para perawinya itu adil (ciri-ciri adil ialah muslim, baligh, berakal, tidak fasiq dan terjaga maruahnya)
    • Para perawinya dhabit (ketepatan seseorang dalam hafalannya [dhabit sadr] dan penulisannya [dhabit al-kitab])
    • Tidak ada syaz (riwayat hadith tersebut tidak bercanggah dengan riwayat lain yang mana para perawinya dipercayai [tsiqah])
    • Tidak ada sebarang illah (tiada kecacatan atau penyakit, ini dapat dikenal pasti oleh para ‘ulama dalam bidang ilmu riwayat dan dirayah)
  2. Hasan. Kedudukannya lebih rendah daripada hadith sahih kerana terdapat beberapa kekurangan. Ia masih dijadikan dalil dan sandaran dalam syariat. Oleh sebab itu, hadith sahih dan hadith hasan juga disebutkan sebagai hadith maqbul, yang bererti “diterima”.
  3. Dhaif (lemah). Ini hadith yang menepati syarat-syarat penerimaannya sebagai hadith yang sahih. Ia tidak boleh dijadikan sandaran dalam syariat. Walaupun para ‘ulama telah sepakat bahawa hadith dhaif tidak boleh dijadikan sandaran ataupun hujah, mereka berbeza pendapat adakah ia boleh digunakan untuk fadhilat amal (sebagai anjuran beramal atas sesuatu yang telahpun disahkan dalam syariat dalam Al-Quran atau hadith-hadith lain, tetapi dengan syarat-syarat tertentu). 
  4. Dhaif jiddan (sangat lemah). Ini hadith yang darjatnya lebih rendah daripada dhaif. Tidak boleh dijadikan sandaran atau pengamalan baik untuk tujuan apa pun.
  5. Maudhu (palsu). Ini hadith yang jelas bukan daripada Nabi s.a.w, ianya direka-reka sahaja. Haram menyebarkannya untuk disebutkan sebagai hadith nabi s.a.w, sebagaimana yang pernah disebut oleh baginda s.a.w sendiri: “Barangsiapa yang berbohong atas namaku maka dia telah menempah tempatnya di neraka.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).
  6. Matruk (ditinggalkan): Hadith yang ditinggalkan kerana ada perawinya yang diketahui sebagai pembohong.
  7. Munkar: Hadith yang lemah perawinya, malah jelas kefasikannya sementara isi hadithnya pula bertentangan dengan isi hadith lain daripada riwayat golongan perawi yang terpercaya (al-thiqaat).
Komponen-Komponen Dalam Hadith
Umumnya, sebuah laporan hadith terbahagi kepada tiga komponen: matan, sanad dantaraf. Matan ialah teks hadith itu sendiri. Taraf pula ialah tingkatan hadith itu, sepertimana disebutkan di atas.
Sanad pula ialah rantaian periwayat hadith tersebut setelah ia didengari daripada Rasulullah s.a.w. Contohnya, sebuah hadith yang berasal daripada Abu Hurairah (perawi pertama) diriwayatkan kepada seorang perawi hingga kepada seorang yang lain, sehingga sampailah kepada Imam Bukhari (perawi terakhir) yang kemudiannya memasukkan hadith tersebut ke dalam kitabnya (sahih Bukhari). Cuba lihat hadith ini:
Daripada Abu Hurairah r.a.: Nabi s.a.w bersabda: “Akulah penghulu manusia pada hari kiamat.” (HR Al-Bukhari dan Muslim)
Perekodan hadith dilakukan setelah para ulama hadith ini melakukan penilaian terhadap kesahihan hadith tersebut menurut kaedah-kaedah ilmu hadith. Kerana kita mengekstrak hadith ini daripada kitab hadith Imam Al-Bukhari (kitab Sahih Bukhari), maka kita perlu menulisnya sebagai “HR Al-Bukhari”. Demikian juga tentang catitan “HR Muslim” untuk hadith di atas ini.
Kesilapan yang kadang-kadang kita jumpai ialah ada yang menyebut sumber hadith ini sebagai (HR Abu Hurairah). Penyebutan ini tidak sempurna, kerana Abu Hurairah ialah perawinya yang pertama. Sebetulnya kita tulis nama perawi yang terakhir: “HR Al-Bukhari”.
Sebenarnya tindakan yang terbaik ialah memaparkan dengan tepat dari bab mana dan dari kitab manakah hadith ini diambil. Dalam blog ini, saya tidak memasukkan maklumat-maklumat ini untuk memudahkan pembacaan, tetapi insyaAllah segalanya benar sepertimana disebutkan. Sila periksa sendiri jika mahu (contoh: periksa HR Bukhari dalam kitab sahih Al-Bukhari, HR Muslim dalam kitab sahih Muslim dan sebagainya).
Beberapa Istilah Dalam Ilmu Hadith
Jika kita membaca buku-buku agama, kadang-kadang kita boleh menemui beberapa lafaz bahasa arab dalam menjelaskan isu berkaitan sesebuah hadith, yang tidak diterjemahkan oleh penulisnya. Di sini saya cuba kongsikan definisi beberapa istilah yang saya kira relevan:
  1. Istilah bagi sandaran hadith:
    • Qudsi: Hadith yang datang terus daripada Allah dan disampaikan melalui Nabi s.a.w.
    • Marfu’: Hadith yang sanadnya sampai kepada Rasulullah
    • Mauquf: Sanadnya sampai kepada para sahabat
    • Maqtu’: Sanadnya sampai kepada para tabi’en
  2. Pembahagian hadith menurut jumlah perawinya:
    • Mutawatir: Para perawinya ramai; hadith diriwayatkan daripada sekelompok perawi ke atas sekelompok perawi lain secara berterusan, sehingga tidak memungkinkan langsung terjadinya pendustaan atas nama Nabi s.a.w.
    • Ahad: Tahapan periwayatannya tidak semahsyur mutawatir.
  3. Istilah-istilah menjelaskan cara terputusnya sanad (menjadi hadith dhaif):
    • Mursal: Hadith yang gugur nama sahabat ataupun tabi’in daripada sanad perawinya.
    • Mu’addhal:  Sanad terputus secara berturut-turut sehingga sukar sekali untuk menyambungnya.
    • Munqati’: Sanad terputus seorang atau dua orang tetapi bukan berturut-turut.
    • Muallaq: Gugur atau dibuang sanadnya baik seorang perawi mahupun keseluruhannya.
  4. Istilah-istilah merujuk kepada kumpulan sumber kitab sesuatu hadith diekstrak (digunakan oleh Ibnu Hajar, disebutkan dalam muqaddimah kitabnya Bulughul Maram):
    • As-Saba’ah (tujuh): Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud, Nasai’e, Ibnu Majah dan Ahmad.
    • Al-Sittah (enam): Seperti As-Saba’a tetapi Ahmad tidak termasuk.
    • Al-Khamsah (lima): Seperti As-Saba’a tetapi tidak termasuk Bukhari dan Muslim.
    • Al-Arba’ah (empat): Hadith riwayat Tirmizi, Abu Daud, Al-Nasai’e dan Ibnu Majah.
    • Al-Tsalathah (tiga): Hadith riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Al-Nasai’e.
    • Muttafaqun alaih: Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
  5. Teknik-teknik pengambilan hukum daripada hadith-hadith yang saling berkaitan atau bercanggah:
    • Al-Jama’ (Al-tawfiq): Proses menyatukan hadith-hadith yang pada zahirnya saling bercanggah, sehingga ia saling melengkapi, dengan menggunakan kaedah-kaedah ilmu hadith.
    • Al-Nasikh Wa Al-Mansukh: Nasikh ialah dalil yang menggantikan dalil yang lain, sedangkan mansukh merujuk kepada dalil yang digantikan oleh dalil yang lain.
    • Al-Tarjih: Proses untuk mengambil hujah yang terkuat daripada beberapa dalil yang seakan-akan bercanggah di dalam sesuatu persoalan.
    • Tawaqquf: Keadaan di mana ulama berhenti daripada menggunakan sesuatu hadith yang kelihatan saling bercanggah, kerana amat sukar baginya untuk menentukan hadith yang mana satu lebih kuat. Kesukaran ini menyebabkan hadith yang ditinggalkan itu tidak digunakan untuk diamalkan selagimana jawapan bagi permasalahan itu belum ditemui. 
Para Ulama Hadith Terkemuka Serta Kitab-Kitab Mereka: Satu Ringkasan
Terdapat terlalu ramai ulama-ulama hadith yang unggul untuk kita bincangkan. Di sini saya susunkan hanya ke tahap enam ulama sahaja yang perlu kita kenali kerana mengikut keutamaan darjat kitab-kitab hadith yang telah mereka karan. Saya sarankan para pembaca cuba membaca buku “Biografi Ulamak-Ulamak Hadith” tulisan Prof Madya Dr Ariffin bin Omar dan H.M Yusuf Sinaga untuk maklumat lanjut.
  1. Imam Bukhari. Kitab utamanya: Sahih Bukhari
  2. Imam Muslim. Kitab utamanya: Sahih Muslim
  3. Imam Al-Tirmizi. Kitab utamanya: Sunan Al-Tirmizi
  4. Imam Al-Nasai’e. Kitab utamanya: Sunan Al-Nasai’e (atau Sunan Al-Kubra)
  5. Imam Abu Daud. Kitab utamanya: Sunan Abu Daud
  6. Imam Ibnu Majah. Kitab utamanya: Sunan Ibnu Majah.
Para ulama mutakhir telah menetapkan bahawa kitab hadith yang utama ada lima; iaitu Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Tirmizi, Sunan An-Nasai’e dan Sunan Abu Daud. Kumpulan lima kitab ini disebut sebagai al-kutub al-khamsah (Kitab yang lima). Memasukkan yang kitab keenam (sunan Ibnu Majah), ia digelar sebagai al-kutub al-sittah (kitab yang enam). 
Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa Kitab Al-Muwatta karya Imam Malik sepatutnya diletakkan di tempat ke enam, dan ada pula menyebut sepatutnya ia adalah kitab Sunan Al-Darimi oleh Imam Al-Darimi. Namun begitu, Imam Ibnu Hajar berpendapat bahawa sunan Ibnu Majah memang wajar diletakkan di tempat keenam kerana di dalamnya terdapat lebih banyak hadith marfuk (sanad hadith yang sampai kepada Nabi s.a.w) berbanding kitab Al-Muwatta.
Ada sebuah kitab bagus yang telah disusun untuk menghimpunkan hadith-hadith yang disebutkan daripada kutub sittah (semestinya semuanya hadith sahih) sahaja, iaitu kitabSahih Al-Huffaz oleh Awwad Al-Khalaf. Ia mengandungi 408 hadith.
Kitab Sahih Bukhari dan Muslim digelar sebagai As-Sahihain (dua kitab sahih), sementara kitab-kitab berbaki (empat kitab sunan) digelar sebagai kutub sunan.
Sungguhpun di dalam kitab sunan terdapat hadith-hadith yang tidak sahih, tingkatan hadith-hadith tersebut ada yang telah dinilai sendiri oleh para ulama’ pengarangnya (mereka pun mengakui ketidak-sahihannya), dan usaha ini dilanjutkan oleh para ulama hadith di masa mendatang. Hasil usaha unggul ini, hari ini kita boleh temui kitab-kitab sunan yang telah selesai dinilai (ditahqiq) semua status hadith-hadithnya untuk memberitahu yang mana sahih dan yang mana tidak. Alhamdulillah.
Kitab Penjelasan (Komentari) Bagi Kitab Hadith
Terdapat juga para ulama yang berusaha untuk menjelaskan kandungan hadith kitab-kitab hadith besar di atas, sepertimana peranan kitab tafsir bagi menjelaskan Al-Quran. Dalam bidang hadith, kitab ini dipanggil sebagai kitab syarah. Bagi kitab sahihain (Bukhari dan Muslim), kitab-kitab syarahnya yang utama adalah:
  1. Kitab Fathul Bari, mensyarahkan Sahih Bukhari, oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani
  2. Kitab Sharh Sahih Muslim, mensyarahkan Sahih Muslim, oleh Imam Nawawi
Sudah tentu untuk menulis kitab syarah, seseorang ulama perlu menguasai segala macam cabang ilmu hadith (lihat di bawah). Ini memerlukan pengetahuan dan mujahadah yang sangat tinggi, semoga Allah merahmati mereka semua atas pengorbanan yang mulia. Sebenarnya, kedua-dua ulama besar ini juga telah menulis kitab hadith mereka sendiri, antaranya kitab Bulughul Maram oleh Ibnu Hajar dan kitab Riyadhus Salihin oleh Imam Nawawi. Kitab-kitab ini sendiri pun ada kitab syarahnya masing-masing yang ditulis oleh ulama lain.

Cabang-Cabang Ilmu Hadith
Dalam ilmu hadith, terdapat beberapa ilmu lain sebagai alat untuk membolehkan penilaian status hadith dilakukan, agar dapat disaring daripada sahih hinggalah ke maudhu’ dan dapat diambil pengajarannya. Di antara ilmu-ilmu cabang tersebut ialah:
  1. Ilmu Musthalah Al-Hadith. Ilmu untuk mengetahui istilah-istilah yang digunakan dalam ilmu hadith.
  2. Ilmu Rijal. Ilmu tentang biodata dan kisah para perawi hadith.
  3. Ilmu Al-Jarh Wa Ta’dil. Ilmu yang membahaskan tentang kecacatan perawi hadith atau pujian bagi mereka dengan penggunaan lafaz-lafaz khusus bagi menggambarkan diri mereka. Ilmu ini bersangkut-paut dengan ilmu Rijal.
  4. Ilmu ‘Ilal Hadith. Ilmu yang melibatkan pengkajian teliti tentang ‘kecacatan yang tersembunyi’ dalam hadith baik menerusi sanadnya mahupun matannya.
  5. Ilmu Gharib Al-Hadith. Ilmu yang menerangkan tentang perkataan atau istilah yang jarang digunakan dalam pertuturan seharian orang arab, tetapi ada disebutkan dalam sesebuah teks hadith.
  6. Ilmu Fiqh Al-Hadith. Ilmu tentang tafsiran hadith beserta dengan pengambilan hukum (istinbhat) daripadanya.
  7. Ilmu Asbabul Wurud. Ilmu tentang sebab-sebab adanya hadith tersebut, jadi dapat membantu untuk memahami konteks atau aplikasi sesebuah hadith supaya tepat pengamalannya.
Terdapat terlalu banyak kitab-kitab dalam setiap cabang ilmu hadith untuk saya muatkan contohnya di sini, jadi tidak perlulah saya meletakkannya supaya tidak memanjangkan lagi entri yang panjang ini. Anda boleh mencarinya sendiri jika mahu.

Pengajaran Penting Tentang Ilmu Hadith

Lihatlah betapa besarnya skop ilmu hadith dan betapa jerih-payahnya usaha para ulama dalam mengkajinya. Kita akan berasa kagum, malu dan terharu jika kita mengetahui kisah-kisah para ulama Islam dalam mencari dan mengembangkan ilmu. Seharusnya kita bersyukur kepada Allah atas nikmat ilmu hadith ini dan mendoakan para ulamanya yang telah gigih berjihad dan berkorban untuk mengembangkannya. 
Sungguh pelik sekali, ada juga orang yang meragui ketepatan periwayatan hadith yang sahih, sedangkan telah jelas bahawa usaha untuk memastikan kesahihan sesebuah hadith sungguh luar biasa sekali usahanya dan cerewetnya. Banyak sekali proses yang perlu dilakukan, banyak sekali ilmu perlu dikuasai dan banyak sekali pengorbanannya.
Cukup kita bawakan satu bukti sahaja dulu, antara manifestasi usaha luar biasa di bidang ilmu ini, dengan kita renungi kewujudan sebuah kitab yang hebat ; iaitu At-Tarikh Al-Kabir oleh Imam Al-Bukhari. Kitab ini  memuatkan biodata padat tentang lebih kurang 30,000 orang para perawi hadith dan ia dijadikan sebagai salah satu rujukan penting dalam ilmu rijal, sedangkan ilmu rijal ini baru salah satu sahaja daripada elemen-elemen lain yang dikaji dalam proses penilaian hadith.
Sebab itu kita berasa pelik dengan golongan anti-hadith, atau golongan yang memperlekehkan ilmu hadith, sedangkan mereka tidak pernah membuktikan bahawa mereka sudah selesai memahami semua bahagian ilmu hadith sehingga mereka layak mengkritiknya. Jika seseorang menyedari betapa panjangnya perbahasan tentang menilai sesebuah hadith, baik daripada segi matannya, sanadnya, dengan ‘ilalnya beserta dengan kaedah pengambilan hukum daripada sesebuah hadith, nescaya tentu sekali dia akan yakin tentang ketepatan ilmu hadith, kecuali jika dia sendiri yang enggan menerima hidayah.
Semoga kita dapat memahami betapa pentingnya ilmu hadith sebagai satu komponen penting dalam ilmu agama Islam itu sendiri.
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com

Doa ketika hujan turun...


Doa ketika hujan turun... "Allahumma shoyyiban naafi’an"

“Ya Allah, jadikanlah hujan ini hujan yang membawa manfaat.” (Hadith Riwayat Bukhari)

---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com

"Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka"


(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. (Quran, Ali-Imran, 3:191)
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.net

The excellence of charity (spending wealth in the Way of Allah)



The likeness of those who spend their wealth in the Way of Allah, is as the likeness of a grain (of corn); it grows seven ears, and each ear has a hundred grains. Allah gives manifold increase to whom He wills. And Allah is All-Sufficient for His creatures' needs, All-Knower. (Al-Quran, Al-Baqarah, 2:261)
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.net

Kelebihan sedekah (membelanjakan harta pada jalan Allah)


Bandingan (sedekah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (Al-Quran, Al-Baqarah, 2:261)
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.net

Please Join my facebook's fan page