Amalan Yang Istiqamah Lebih Dicintai Allah Walaupun Sedikit
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَحْتَجِرُ حَصِيرًا بِاللَّيْلِ فَيُصَلِّي عَلَيْهِ وَيَبْسُطُهُ بِالنَّهَارِ فَيَجْلِسُ عَلَيْهِ فَجَعَلَ النَّاسُ يَثُوبُونَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيُصَلُّونَ بِصَلَاتِهِ حَتَّى كَثُرُوا فَأَقْبَلَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مِنْ الْأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَإِنَّ أَحَبَّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ
Daripada Aisyah RA bahawa pada suatu malam Nabi SAW mengambil tikar yang diperbuat daripada pelepah dan daun tamar untuk dijadikan dinding tempat baginda bersolat di waktu malam dan di waktu siang baginda menghamparkan tikar daun tamar itu dan duduk di atasnya, orangpun datang berkumpul kepada Rasulullah lalu solat sepertinya sehingga ramai yang mengikutinya, Rasulullah datang dan menemui mereka lalu bersabda: "Wahai sekalian manusia, beramallah sekadar kemampuan kamu, bahawasanya, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kalian merasa jemu. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit."
(Hadis riwayat Imam Bukhari No: 5413)
Status: Hadis Sahih.
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam kehidupan seharian dan dalam beribadat. Sebagai manusia maksum yang dosa-dosanya diampunkan Allah, walaupun di siang harinya sibuk dengan urusan bermasyarakat dan Negara namun baginda masih kuat untuk beribadat di malam hari dan memohon keampunan daripada Allah.
2. Rasulullah SAW amat bersederhana dalam kehidupan. Baginda tidak menyediakan tempat yang khusus dan indah untuk beribadat. Menggunakan tikar yang diperbuat daripada pelepah tamar yang juga digunakan diwaktu siang sebagai tempat alas duduk dan di waktu malam dijadikan dinding untuk baginda jadikan penghadang untuk solat malam.
3. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bertujuan untuk mengajar kita secara praktikal supaya hidup dengan cara yang mudah, reda dengan apa yang ada serta beribadat dengan cara yang tidak memberatkan.
4. Perbuatan Rasulullah SAW melaksanakan solat sunat di malam hari itu telah menyebabkan ramai sahabat berhimpun untuk mengikutinya. Bagi mengelakkan ianya dianggap “wajib” oleh para sahabat, lalu Rasulullah memberikan arahan dan panduan beribadat iaitu buatlah sekadar yang termampu dan tidak diberatkan agar ia tidak berasa jemu.
5. Amalan yang paling baik dan dikasihi Allah ialah amalan yang berterusan (istiqamah) walaupun sedikit.