Hukum Taubat
Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT - yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia - maka syaratnya ada tiga:
1. Menjauhi dan meninggalkan maksiat
2. Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
3. Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.
Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu):
Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42)