JANGAN JEMU DOAKAN IBUBAPA KITA
1. Rasulullah SAW mendidik para sahabat supaya sentiasa mendoakan kedua ibubapa. Ini kerana, doa kita mampu membantu meninggikan kedudukan mereka di sisi Allah.
2. Di dalam al-Quran, Allah mengajar kita supaya sentiasa mendoakan kedua ibubapa kita. Firman Allah SWT:
وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
“Dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mengasihani kami sejak dari kecil.”
(Al-Isra: 24)
3. Mendoakan mereka juga adalah sunnah para Nabi. Di dalam al-Quran Allah mendatangkan beberapa contoh Nabi yang mendoakan kedua ibubapa mereka. Antaranya adalah doa Nabi Nuh:
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِناً وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ
“Wahai Tuhanku, ampunlah bagiku, dan kedua ibubapaku serta sesiapa yang masuk ke rumahku dalam keadaan beriman.”
(Nuh: 28)
4. Sebahagian sarjana Muslim berpandangan bahawa sentiasa berbuat baik kepada ibubapa itu boleh melapangkan rezeki seseorang. Ini kerana menurut al-Imam al-Badr al-Aini, berbuat baik kepada ibubapa itu adalah sebaik-baik amalan dalam menghubungkan silaturrahim. Dan orang yang menghubungkan silaturrahim ini akan dipermudahkan rezekinya di sisi Allah. Sabda Rasulullah SAW.
من أحب أن يبسط له في رزقه فليصل رحمه
“Barangsiapa yang berharap agar diperluaskan rezekinya maka hubungkanlah silaturrahim.”
Oleh itu, jangan jemu mendoakan dan berlaku baik kepada ibubapa kita semasa mereka masih hidup atau telah meninggal dunia. Sentiasa doakan mereka seusai solat kita.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment