Bismillah walhamdulillah. Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad, kama sollaiTA `ala Ibrahim wa `ala ali Ibrahim. InnaKA Hamidun Majid.
Berikut ini saya petik beberapa hadith yang menerangkan ciri-ciri fizikal insan yang kita telah banyak terhutang budi dengannya, insan yang kita cinta, insan yang kita kasih, insan yang kita ikut, iaitu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.
Hadith-hadith ini telah saya salin dari kitab yang sangat terkenal iaitu kitab Syama’il Muhammadiyah (kesempurnaan Nabi Muhammad) yang disusun oleh Imam at-Tirmidzi. Kitab ini menyenaraikan sifat-sifat fizikal, sifat-sifat akhlaq dan cara kehidupan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam secara agak terperinci.
Hadith 1:
Jabir bin Samurah radhiAllahu `anhu berkata:
“Aku melihat Rasulullah pada suatu malam yang diterangi bulan purnama. Pada waktu itu, Baginda memakai pakaian berwarna merah. Aku memandang Baginda dan bulan silih berganti. Bagiku, Baginda lebih indah daripada bulan purnama”(HR at-Tirmidzi)
Hadith 2:
Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata:
“Rasulullah bukanlah orang yang terlalu tinggi, namun bukan juga terlalu pendek, (kulitnya) tidak putih pucat juga tidak sawo matang, (rambutnya ikal) tidak terlalu kerinting dan tidak juga lurus. Baginda diutus oleh ALLAH menjadi Rasul pada usia empat puluh tahun. Baginda diwafatkan oleh ALLAH dalam usia enam puluh tahun, dalam keadaan tidak sampai 20 helai uban yang terdapat di kepala dan janggutnya.”(HR al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi)
Hadith 3:
Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata:
“Rasulullah adalah seorang yang mempunyai tubuh yang sedang, tidak tinggi dan tidak rendah, bentuk tubuhnya bagus. Rambutnya tidak kerinting dan tidak lurus. Warna kulit Baginda putih kemerahan. Jika berjalan, pergerakannya condong ke hadapan.”(HR al-Bukhari dan at-Tirmidzi)
Hadith 4:
Al-Bara’ bin `Azib radhiAllahu `anhu berkata:
“Rasulullah merupakan seorang lelaki yang bertubuh sederhana (tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah), jarak antara kedua-dua bahunya lebar (bahunya bidang). Rambut yang lebat terurai ke bahu sampai ke telinganya. Apabila Baginda memakai pakaian berwarna merah, aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih tampan daripadanya.”(HR at-Tirmidzi, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud)
Hadith 5:
Al-Bara’ bin `Azib radhiAllahu `anhu berkata:
“Aku tidak pernah melihat orang yang memiliki rambut yang menyentuh sehingga bawah telinga (antara cuping telinga dan bahu), dengan memakai pakaian yang berwarna merah, yang lebih tampan daripada Rasulullah. Baginda memiliki rambut yang mencecah kedua-dua bahunya. Kedua-dua belah bahu Baginda bidang. Baginda bukanlah seorang yang rendah dan bukan juga tinggi.”(HR Muslim, Abu Dawud dan at-Tirmidzi)
Hadith 6:
Ali bin Abi Talib radhiAllahu `anhu berkata:
“Rasulullah tidak tinggi dan tidak rendah. Telapak tangan dan kakinya terasa tebal (dagingnya) namun lembut. Kepalanya besar, tulang sendi besar. Terdapat bulu yang jelas dari dada sehingga pusatnya. Apabila Baginda berjalan, pergerakannya condong ke hadapan seolah-olah sedang turun dari tempat yang tinggi. Tidak pernah aku lihat orang yang setanding dengan Baginda, samada sebelum (Baginda lahir) mahupun selepas (Baginda meninggal dunia)”(HR at-Tirmidzi)
Hadith 7:
Ali bin Abi Talib radhiAllahu `anhu bercerita tentang sifat Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam:
Rasulullah tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu pendek. Baginda bertubuh sederhana dalam kalangan kaumnya. Rambutnya tidak kerinting bergulung dan tidak juga lurus kaku, melainkan ikal beralun. Badannya tidak gemuk, bentuk wajahnya tidak bulat, tetapi bujur telur.Kulitnya putih kemerah-merahan. Matanya hitam pekat dan bulu matanya lentik. Tulang sendinya gagah, bahunya bidang. Badannya bersih daripada bulu dan rambut, tetapi mempunyai bulu yang memanjang dari dada sampai pusat. Telapak tangan dan kakinya terasa tebal.Apabila Rasulullah berjalan, pergerakannya kelihatan tegap (kakinya diangkat dengan kekuatan), seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi. Apabila Baginda berpaling, kedua-dua bahunya berpaling serentak (seluruh badannya turut berpaling). Di antara kedua-dua bahunya, terdapat khatamun-nubuwwah, iaitu tanda kenabian nabi. Rasulullah merupakan seorang manusia yang hatinya paling pemurah. Baginda adalah orang yang kata-katanya paling jujur.Manusia yang perangainya paling lembut dan paling ramah dalam pergaulan. Sesiapa yang melihatnya buat kali pertama, pasti akan menaruh rasa hormat dan segan kepadanya. Sesiapa yang berkenalan dengan Baginda tentu nanti akan mencintainya. Orang yang menceritakan sifat Rasulullah, tentunya akan berkata “Belum pernah aku melihat seseorang yang setanding dengannya, samada sebelum kelahirannya ataupun sesudah Baginda meninggal dunia.”(HR at-Tirmidzi)
Hadith 8:
Hasan bin Ali berkata, “Aku pernah bertanya mengenai sifat Rasulullah kepada pakcikku yang bernama Hind bin Abu Halah (yang memiliki nama samaran Abu `Abdullah). Hind bin Abu Halah adalah orang yang banyak mengetahui sifat Rasulullah. Aku sangat berharap Hind dapat menceritakan beberapa sifat Rasulullah kerana aku mahu mencontohi Baginda. Inilah yang dikisahkan oleh Hind:
“Rasulullah adalah seorang lelaki yang berwibawa. Wajahnya cerah berseri bagaikan rembulan yang bersinar pada malam hari. Baginda lebih tinggi daripada orang yang sederhana dan lebih rendah daripada orang yang tinggi. Kepalanya besar (padan dengan dadanya yang bidang dan tubuhnya gagah).Rambutnya beralun. Apabila rambut bahagian depannya terurai, Baginda membuat belahan dua. Jika tidak membelah dua, hujung rambutnya dibiarkan sampai cuping telinga, namun tidak melepasi had itu. Rasulullah menjadikan rambutnya sebagai wafroh (rambut tidak lebih telinga). Warna kulitnya putih kemerah-merahan.Dahinya luas. Keningnya panjang melengkung bagaikan dua busur panah yang terpisah. Di antara kedua-dua keningnya, ada urat yang kelihatan memerah ketika sedang marah. Hidung Rasulullah mancung, di hujung hidungnya ada cahaya yang memancar, sehinggakan orang yang melihatnya betul-betul, akan menyangka hidung Baginda lebih mancung (daripada yang sebenarnya).Janggutnya tebal, kedua-dua pipinya mulus, mulutnya lebar. Giginya agak jarang, namun teratur rapi. Bulu dadanya halus. Lehernya indah, tegak dan kuat.Bentuk tubuhnya sederhana, badannya berisi seimbang, perut dan dadanya sama rata. Dadanya lebar, kedua-dua bahunya bidang dan tulang sendinya besar. bahagian badannya yang tidak ditumbuhi rambut kelihatan bersih bercahaya.Dari pangkal leher sampai pusat, bulu yang tebal tumbuh seperti garisan. Kedua-dua puting susu dan perutnya bersih. Kedua-dua bahu dan dada bahagian atas berbulu halus.Kedua-dua ruas tulang tangannya panjang, telapak kakinya lebar. Kedua-dua telapak tangan dan kakinya terasa tebal, jari-jarinya panjang, lekukan telapak kakinya (bahagian tengah) tidak menyentuh tanah. Kedua-dua kakinya halus sehingga air tidak melekat di kulit kakinya.Apabila Rasulullah berjalan, kakinya diangkat dengan kesungguhan. Baginda melangkah dengan mantap dan berjalan dengan tenang dan tawadhu`. Jika Baginda berjalan, pergerakannya cepat seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi. Apabila dipanggil, Baginda akan memalingkan kedua-dua bahunya serentak.Pandangan matanya terarah ke bawah. Baginda menundukkan kepala menatap ke arah bumi lebih lama daripada memandang ke langit.Apabila ada sahabat berjalan, Rasulullah akan berjalan di belakangnya. Apabila bertemu dengan orang lain, Baginda yang akan terlebih dahulu memberi salam.”(HR at-Tirmidzi)
Itulah antara beberapa hadith yang dimuatkan di dalam Syama’il Muhammadiah yang sempat saya salin berkenaan rupa bentuk fizikal Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.
Amat digalakkan tuan/puan memiliki buku ini kerana di dalamnya banyak lagi riwayat hadith yang menceritakan cara kehidupan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam seperti bagaimana Nabi menyikat rambutnya, rupa pakaiannya, cincinnya, serbannya, cara Rasulullah makan dan minum, wangian Rasulullah, cara Baginda berbicara, bergurau, tertawa, cara Rasulullah berbekam dan lain-lain lagi.
Semoga ALLAH mengurniakan rasa cinta dan upaya kepada kita semua untuk ikut sunnah-sunnah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam. La haula wa la quwwata illa biLLAH.
Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala aali Muhammad.
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.net
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.net
No comments:
Post a Comment