Latest

Saturday, February 11, 2017

Biodata dan Sejarah Ringkas Khalifah Umar bin Abdul Aziz

Nama sebenar beliau ialah Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam, lahir pada tahun 63H (682M) dan meninggal dunia pada 101H (720M). Beliau adalah pemimpin/khalifah kepada Bani Umaiyyah yang ke 6, dan telah memerintah selama 2 tahun 5 bulan.

Ayahnya adalah Abdul-Aziz bin Marwan, gabenor Mesir dan adik kepada Khalifah Abdul Malik. Ibunya adalah Ummu Asim binti Asim. Umar adalah cicit kepada Khulafa Ar-Rasyidin kedua Umar bin Khattab.

Umar bin Abdul Aziz dibesarkan di Madinah dengan bimbingan Ibnu Umar, iaitu salah seorang ulama hadis. Umar telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi serta bergaul dengan para pemuka ahli feqah dan ulama. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik bin Anas, Urwah bin Zubair, Abdullah bin Jaafar, Yusuf bin Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.

Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah binti Abdul Malik (sepupunya).

Sifat-Sifat Peribadi

Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar bin Al-Khattab. Baginda amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum.

Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehidupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Umar bin Abdul Aziz Sebagai Khalifah

Beliau dibai'ah/dilantik menjadi Khalifah pada tahun 98H (717M) setelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik atas wasiat khalifah tersebut. Padahal sebenarnya dia tidak mahukan jawatan itu.

Oleh kerana itu dia mengumpulkan orang-orang di masjid untuk solat berjamaah lalu berpidato. Setelah menyampaikan pujian kepada Allah dan bersalawat kepada Nabi, dalam pidatonya dia mengatakan,

“Wahai manusia! Saya telah diuji untuk menjalankan tugas ini tanpa diminta pendapat, permintaan dari saya, atau musyawarah kaum Muslimin. Maka sekarang ini saya membatalkan bai'ah yang kalian berikan kepada diri saya dan untuk selanjutnya pilihlah khalifah yang kalian suka!”

Tetapi orang-orang yang hadir dengan serempak mengatakan, “Kami telah memilih engkau wahai Amirul Mukminin. Perintah lah kami dengan kebahagiaan dan keberkatan!”

Setelah itu dia lalu menyuruh semua orang untuk bertakwa, untuk tidak menyukai dunia dan menyukai akhirat, kemudian berkata, “Wahai manusia! Barang siapa mentaati Allah, wajib ditaati, siapa yang mendurhakai-Nya tidak boleh ditaati oleh seorang pun. Wahai manusia! Taatilah saya selama saya mentaati Allah dalam memerintahmu dan jika saya mendurhakai-Nya tidak ada seorang pun yang boleh mentaati saya.” Lalu dia turun dari mimbar.

Kenyataan Khalifah Abdul Aziz yang terakhir di atas iaitu agar taat kepadanya selagi dia taat pada Allah, dan jangan taat padanya jika dia tidak taat kepada Allah, adalah sama sepertimana yang diucapkan oleh Saidina Abu Bakar ketika beliau dilantik menjadi khalifah. Kata-kata Saidina Abu Bakar seperti berikut;

".....Patuhilah aku selama aku mematuhi Allah dan rasulnya. tetapi jika aku tidak mematuhi keduanya maka tiada kewajipan taat atas kalian terhadapku......" (Al Bidayah Wan Nihayah - Imam Ibnu Katsir, mengatakan sanadnya adalah sahih).

Maka kita tanya diri kita sekarang, adakah kerajaan dalam negara kita sekarang ini mematuhi Allah? Sedangkan Hukum Hudud yang wajib dan diperintahkan di dalam AlQuran pun satu habuk kita tidak laksanakan.

Hari kedua dilantik menjadi khalifah, beliau menyampaikan khutbah umum. Dihujung khutbahnya, beliau berkata “Wahai manusia, tiada nabi selepas Muhammad s.a.w dan tiada kitab selepas al-Quran, aku bukan penentu hukum malah aku pelaksana hukum Allah, aku bukan ahli bid’ah malah aku seorang yang mengikut sunnah, aku bukan orang yang paling baik di 
kalangan kamu sedangkan aku cuma orang yang paling berat tanggungannya dikalangan kamu, aku mengucapkan ucapan ini sedangkan aku tahu aku adalah orang yang paling banyak dosa di sisi Allah”

Beliau kemudian duduk dan menangis "Alangkah besarnya ujian Allah kepadaku" sambung Umar Ibn Abdul Aziz.
Beliau pulang ke rumah dan menangis sehingga ditegur isteri “Apa yang Amirul Mukminin tangiskan?” Beliau menjawab “Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jawatan ini dan aku sedang teringat kepada orang-orang yang miskin, ibu-ibu yang janda, anaknya ramai, rezekinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, para fuqara’ (orang-orang fakir) kaum muslimin. Aku tahu mereka semua ini akan mendakwaku di akhirat kelak dan aku bimbang aku tidak dapat jawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah kerana aku tahu, yang menjadi pembela di pihak mereka adalah Rasulullah s.a.w." Isterinya juga turut mengalirkan air mata.

Setelah mengambil-alih tampuk pemerintahan, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengubah beberapa perkara yang lebih mirip kepada sistem feudal. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :

1) Menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali bin Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran

2) Merampas kembali harta-harta yang disalah-gunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal

3) Memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalah-gunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah

4) Menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.

Selain daripada itu, beliau amat mengambil-berat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau juga telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan.

Beliau juga amat menitik-beratkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjamaah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebagaimana yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w dan para Khulafa' Ar-Rasyidin. Baginda turut mengarahkan Muhammad bin Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Rasulullah s.a.w.

Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikiawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Suryani ke dalam bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.

Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangan adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab, yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya.

Hari-hari terakhir Umar bin Abdul Aziz

Ketika menjelang sakaratul mautnya, umat Islam datang berziarah melihat kedhaifan hidup khalifah sehingga ditegur oleh menteri kepada isterinya, "Gantilah baju khalifah itu", dibalas isterinya, "Itu saja pakaian yang khalifah miliki".

Apabila beliau ditanya “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah engkau mau mewasiatkan sesuatu kepada anak-anakmu?”

Umar Abdul Aziz menjawab: "Apa yang ingin kuwasiatkan? Aku tidak memiliki apa-apa."

"Mengapa engkau tinggalkan anak-anakmu dalam keadaan tidak memiliki?"

"Jika anak-anakku orang soleh, Allah lah yang menguruskan orang-orang soleh. Jika mereka orang-orang yang tidak soleh, aku tidak mahu meninggalkan hartaku di tangan orang yang mendurhakai Allah lalu menggunakan hartaku untuk mendurhakai Allah."

Pada waktu lain, Umar bin Abdul Aziz memanggil semua anaknya dan berkata: "Wahai anak-anakku, sesungguhnya ayahmu telah diberi dua pilihan, pertama: menjadikan kamu semua kaya dan ayah masuk ke dalam neraka, kedua: kamu miskin seperti sekarang dan ayah masuk ke dalam syurga (kerana tidak menggunakan wang rakyat). Sesungguhnya wahai anak-anakku, aku telah memilih syurga." (beliau tidak berkata : aku telah memilih kamu susah)

Anak-anaknya ditinggalkan tidak berharta dibandingkan anak-anak gabenor lain yang kaya. Setelah kejatuhan Bani Umayyah dan masa-masa selepasnya, keturunan Umar bin Abdul Aziz adalah golongan yang kaya berkat doa dan tawakkal Umar bin Abdul Aziz.

Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan. Menurut riwayat, beliau meninggal kerana dibunuh (diracun) oleh pembantunya.

2 tahun 5 bulan satu tempoh yang terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan, tetapi Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat. Kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri.

Semua ini adalah jasa Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada pemerintahan zaman moden ini. Hanya dalam masa 852 hari dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredhai Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman. satu rekod yang sukar diikuti oleh orang lain melainkan orang yang benar-benar ikhlas!

Kesimpulan

Marilah sama-sama kita berusaha untuk melantik Perdana Menteri yang berjiwa seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz, yang mana tidak KEDUNIAAN , ZUHUD serta TAWADHU'. Dan membahagikan kekayaan negara secara adil di kalangan rakyat. Adakah anda rasa itu mustahil? Tidak sama sekali sebenarnya. Janji ada kehendak, doa dan usaha, kemudian tawakkal pada Allah s.w.t.

Sedangkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz boleh lakukan di zamannya, mengembalikan kegemilangan zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin, apa lagi kita di zaman sekarang yang penuh kemudahan dan teknologi. Yang menjadi masalah ialah semangat dan keyakinan kita saja yang kurang. Adakah kita hanya mahu menjadi PEMBACA kepada kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz tanpa mahu mengambil iktibar dan cuba lakukan sedemikian juga?

Ingatlah, jika kekayaan dengan adil, maka tidak akan wujud hasad dengki, rompakan, curi, ragut, pecah rumah, bunuh-membunuh kerana harta dan seumpamanya. Tidakkah anda nampak itu aman seamannya? Dan kepada golongan kaya raya yang makin mahu menambah kekayaan, untuk apa kamu mahu bertambah kaya lagi? Untuk menunjuk-nunjuk hebat di dunia yang sementara ini? Adakah kamu boleh hidup selamanya di atas dunia ini? Berapa tahun sangat umur kamu dapat bertahan? Sedarlah dan jelirlah kepada bisikan-bisikan syaitan yang menghasut nafsu kita agar tidak pernah puas dengan kekayaan yang sedia ada.

Buat apa kaya-raya sedangkan hidup dalam ketakutan dan kebimbangan? Bimbang harta dirompak, diragut, dirampas, anak kena culik, isteri kena culik, dikhianat dan sebagainya.

Jika kita teruskan dengan konsep dan kaedah yang ada sekarang ini, maka orang kaya akan terus bertambah kaya, dan yang miskin akan tersepit dan makin terkepit. Dan apabila disebut agar berusaha agar rakyat sama kaya semuanya, akan ada lah mulut-mulut 'mengada' yang mengatakan "tu nak suruh rakyat agar malas berusaha lah tu". Atau pun "ini nak suruh kerajaan beri subsidi selalu lah ni". Orang yang cakap begitu biasanya hanya fikir tentang 'perut' sendiri tetapi tidak menghayati dan memahami kesusahan yang dialami oleh saudara-saudara kita yang miskin dan susah di luar sana.

“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadith Riwayat Bukhari)

“Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati sesama mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana-mana anggota tubuh mengalami kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya.” (Hadith Riwayat Bukhari)

Sedarlah, tidak semestinya semua usaha lebih dan rajin itu akan menjadi kan seseorang itu KAYA. Kadang-kadang, orang yang berusaha lebih, dia tetap miskin. Kadang-kadang orang berusaha sikit saja, tapi dia dah jadi kaya raya. Adakalanya orang-orang bawahan dia yang penat lelah mengkayakan dia.

Sedarlah, kekayaan dan kemiskinan itu adalah REZEKI dan UJIAN dari Allah s.w.t. Dia mahu uji dan tengok kita setakat mana kesabaran dan ketahanan kita digoda oleh harta benda. Hinggakan ada kalanya manusia merasakan harta benda itu dia sendiri yang punya, hingga langsung tidak sedar banyaknya AMANAH yang ada dalam hartanya yang nanti akan dipersoalkan di Hari Kiamat kelak.


“Ketahuilah oleh kalian, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah di antara kalian serta berbangga-banggaan dengan banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang kerananya tumbuh tanam-tanaman yang membuat kagum para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning lantas menjadi hancur, dan di akhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya, dan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Surah Al-Hadid : Ayat 20)

Sama-sama lah kita fikirkan dan guna akal yang Allah Ta'ala bagi ini dengan sebaik mungkin. Dan sedarlah, kita ini sudah sekian lama ditipu oleh PENJAJAH dan sampai sekarang pun masih pakai Undang-undang penjajah dan ikut telunjuk penjajah.

***IKLAN***

Dana patuh Syariah PMB INVESTMENT www.unit-amanah-islam.blogspot.com
SSPN-i Plus (Simpanan pendidikan & takaful) www.sspni-plus-online.blogspot.com
Hartanah Mampu Milik Tanpa Deposit KOHAB www.hartanahanggun.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Please Join my facebook's fan page