Latest

Friday, December 20, 2013

Syarat-syarat wajib zakat

  1. Merdeka: Menurut kesepakatan ulama’, zakat tidak diwajibkan ke atas seorang hamba kerana hamba tidak mempunyai hak milik. Dalam konteks di Malaysia, tiada perhambaan berlaku. Maka setiap orang Islam layak untuk menunaikan kefardhuan zakat.
  2. Islam: Menurut Ijma’, zakat tidak wajib terhadap orang kafir kerana zakat merupakan ibadah mahdhah yang suci. Dalam mazhab Syafie, orang murtad di kenakan zakat sekiranya harta yang telah cukup haul serta nisabnya berlaku sebelum kemurtadan berlaku. Manakala harta yang dimiliki semasa murtad , hukumnya bergantung kepada harta itu sendiri. Jika orang yang murtad itu kembali kepada agama Islam sedangkan hartanya yang diperoleh itu semasa murtad, maka zakat wajib ke atasnya.
  3. Harta yang dikeluarkan mestilah harta yang wajib dizakati: Harta termasuk dalam kriteria ini terdapat 5 jenis harta iaitu emas dan perak,harta karun dan barang temuan, barang perniagaan, hasil tanaman,buah-buahan dan binatang ternak yang meragut sendiri di padang ragut. Harta yang wajib dikeluarkan zakat di syaratkan produktif iaitu berkembang. Hal ini kerana salah satu makna zakat adalah berkembang dan produktif.Yang dimaksudkan dengan berkembang disini bukan bermakna berkembang yang sebenarnya tetapi maksud berkembang di sini ialah bahawa harta  tersebut bersedia untuk di kembangkan sama ada melalui perniagaan atau pun berupa binatang untuk di ternak. Pendapat ini menurut jumhur dengan alasan penternakan menghasilkan keturunan daripada binatang tersebut dan perniagaan mendatangkan keuntungan. Atas dasar itu, zakat tidak di kenakan terhadap mutiara, intan, keperluan asas, tempat tinggal, kuda dan sebagainya .
  4. Nisab: Nisab di tentukan oleh syara’ sebagai tanda kekayaan seseorang. Syara’ juga menetapkan kadar yang diwajibkan zakat ke atas harta itu. Seperti yang telah di tetapkan, nisab emas ialah 85 gram manakala perak adalah 624 gram. Nisab tanaman adalah 5 ausuq atau bersamaan dengan 937.5 kg. Nisab kambing adalah 40 ekor manakala lembu pula ialah 30 ekor.
  5. Milik Penuh: Para Fuqaha’ mempunyai pendapat yang berbeza tentang maksud harta milik iaitu sama ada harta milik yang sudah berada di tangan ataupun harta milik yang hak pengeluarannya berada di tangan seseorang ataupun harta yang dimiliki secara asli. Tetapi kebanyakkan ulama’ berpendapat bahawa harta yang dimiliki secara asli adalah layak untuk di keluarkan zakat.Ini bermakna pemegang amanah tidak di kenakan zakat ke atas harta yang di amanahkan kepadanya kerana harta tersebut bukan miliknya kerana bila-bila masa sahaja tuan asal boleh menuntut harta tersebut. Harta yang dikeluarkan zakat harus dimiliki dalam genggaman tangan sendiri. Ini bermakna mahar seorang perempuan sekiranya belum menerimanya, maka tidak wajib di kenakan zakat sehingga dia betul-betul memilikinya.
  6. Cukup Haul (Hawl): Pendapat ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang maksudnya “ Tiada Zakat dalam suatu harta kecuali telah sampai umur pemilikannya setahun” Riwayat at-Tirmizi, an-Nasa’I, Ibnu Majah dan Ahmad. Pendapat di atas berdasarkan ijma’ para tabiin dan fuqaha. Tahun yang di kira ialah tahun Hijrah bukannya tahun Masihi dan pendapat ini di sepakati para fuqaha’. Bagi zakat Harta, semua jenis zakat termasuk zakat wang dan ternakan tempohnya adalah setahun manakala zakat tanaman pula tempohnya adalah mengikut masa tuaian. Bagi zakat galian, Hawl tidak di gunakan bahkan ia dikenakan mengikut kecukupan nisab sesuatu harta terbabit. Contohnya sekiranya seseorang penggali itu telah menggali galian emas dan hasil yang diperolehi seberat 85 gram walau dalam tempoh sehari, maka zakat layak di kenakan.Dengan syarat berat tersebut hendaklah diperolehi setelah ia di bersihkan dari bendasing yang lain.
  7. Harta tersebut niat untuk diperdagangkan: Harta – harta seperti bangunan, rumah, tanah, kereta dan sebagainya tidak dikenakan zakat tetapi sekiranya ia di gunakan untuk menjana pendapatan, maka pendapatan tersebut di kenakan zakat. Harta ini tergolong dalam harta musytaghalat. Contonya, sekiranya seseorang itu memiliki sebuah bangunan dan bangunan tersebut di sewakan bagi menjana pendapatan, maka pendapatan hasil sewaan itu di kenakan zakat.
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com

No comments:

Post a Comment

Please Join my facebook's fan page