Latest

Sunday, November 03, 2013

Peristiwa Hijrah Rasulullah (SAW)

Pada malam berlakunya peristiwa hijrah, rumah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam telah dikepung oleh pemuda – pemuda yang dipilih daripada kabilah – kabilah kafir Quraisy. Tujuan mereka mengepung rumah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam ialah untuk membunuh baginda.

Sebelum Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam keluar dari rumahnya, baginda menyuruh sepupunya Sayidina Ali bin Abi Talib tidur di tempat tidur baginda. Setelah itu, baginda keluar dari rumah dengan membaca firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Yassin: 9:-

Baginda berjaya keluar dari rumahnya dalam keadaan selamat dan terus menuju ke rumah Sayidina Abu Bakar As – Siddiq. Sayidina Abu Bakar menjadi teman setia baginda sepanjang perjalanan ke Yathrib tanpa diketahui oleh kafir Quraisy.
 
Sebelum terbit fajar, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam dan Sayidina Abu Bakar keluar melalui pintu belakang rumah sahabat baginda itu menuju ke Gua Thur. Mereka sengaja mengikut arah Selatan dan tidak mengikut arah Utara yang menjadi jalan biasa agar tidak dikesan oleh musuh. Apabila keadaan menjadi tenang, mereka keluar dari Gua Thur menuju ke Yathrib dengan dipandu oleh Abdullah bin Uraiqat.

Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam dan Sayidina Abu Bakar sampai di Quba, iaitu kira – kira 5km dari Kota Yathrib setelah menempuh perjalanan yang meletihkan selama 8 hari. pada hari Isnin, 8 Rabi’ul Awal bersamaan dengan 20 september 622 Masehi baginda mendirikan masjid Quba. Inilah masjid yang pertama dibina oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah At Taubah: 108:-

Maksudnya: “… Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya …”
Gambar 1. Masjid Quba terletak di Kota Madinah Al – Munawwarah


Setelah 4 hari di Quba, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam dan rombongan berangkat meneruskan perjalanan. Sebelum sampai ke Yathrib, baginda singgah di suatu tempat yang bernama Lembah Ranuna. Di lembah ini baginda telah menunaikan solat fardhu Juma’at. Ini adalah solat Juma’at yang pertama dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam dan juga khutbah pertama disampaikan.
 
Pada hari Juma’at, 12 Rabi’ul Awal bersamaan 24 September 622 Masehi, baginda dan rombongan telah sampai ke Yathrib. Inilah hari bermulanya Kalendar Islam (Kalendar Hijrah). Ketibaan baginda dan rombongan disambut dengan penuh meriah, kesyukuran dan kegembiraan oleh penduduk Yathrib. Mereka mendendangkan alunan nasyid.
 
Di setiap jalan, unta Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam ditahan oleh penduduk Yathrib meminta baginda berhenti dan tinggal di tempat mereka. Namun Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasaalam mengarahkan agar membiarkan sahaja unta yang ditunggangi baginda itu berhenti sendiri. Akhirnya, unta itu berhenti di suatu tempat yang dimiliki oleh dua orang anak yatim. Di sinilah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam mendirikan masjid yang terkenal dengan nama Masjid An-Nabawi atau Masjid Madinah Al – Munawwarah.
 
Gambar 2. Masjid An – Nabawi di Kota Madinah Al – Munawwarah

---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com

No comments:

Post a Comment

Please Join my facebook's fan page