Cara Melaksanakan Sujud Syukur
Pengertian Sujud Syukur
Jika hajat kita telah tercapai, maka hendaklah kita menzahirkan rasa penghargaan kita terhadap Allah melalui sujud syukur. Sujud syukur bermaksud sujud yang dilakukan kerana mensyukuri nikmat Allah. Sujud syukur ini disunatkan kepada seseorang yang terlepas dari bahaya atau orang yang mendapat nikmat dari Allah SWT.
Abi Bakrah meriwayatkan “bahawa Nabi SAW apabila datang kepadanya sesuatu yang mengembirakan atau khabar suka, baginda terus sujud berterima kasih kepada Allah”.(Riwayat Abu Dawud dan Tarmizi)
Firman Allah SWT:
Dan (ingatlah juga), ketika Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Quran, surah Ibrahim, 14:7)
SEBAB-SEBAB SUJUD SYUKUR DILAKUKAN
Secara umumnya sujud syukur itu dilakukan apabila seorang hamba itu mendapat nikmat atau terhindar dari suatu bencana atau mendapatkan kembali sesuatu yang telah hilang atau selamat dari merbahaya.
Dalam hal ini hukum sujud syukur menurut mazhab Syafii dan Hanbali adalah sunat, sama ada nikmat yang diperolehi atau bencana yang dialami itu khas bagi dirinya atau am bagi semua umat Islam, seperti kemenangan ke atas musuh, hilangnya wabak yang merbahaya dan sebagainya. Tetapi terdapat suatu pandangan dikalangan mazhab Hanbali bahawa sujud syukur hanya dilakukan bagi nikmat yang sifatnya umum untuk semua umat Islam dan bukan untuk nikmat yang khas.
SYARAT-SYARAT SUJUD SYUKUR
Menurut mazhab Syafi’e dan Hanbali disyaratkan sepertimana hendak melakukan solat iaitu thaharah, suci daripada hadas kecil ataupun besar, mengadap kiblat dan menutup aurat.
KAIFIAT SUJUD SYUKUR
Cara pelaksanaanya adalah sebagai berikut:
1) Mengadap kiblat
2) Bertakbir kemudian sujud sekali dengan membaca doa sepertimana doa sujud di dalam solat.
3) Bertakbir sekali lagi untuk bangkit daripada sujud, kemudian salam tanpa membaca doa tasyahud.
(untuk salam boleh dilakukan sekali)
HUKUM SUJUD SYUKUR PADA WAKTU YANG DILARANG
MENGERJAKAN SOLAT
Makruh hukumnya mengerjakan sujud Syukur pada waktu-waktu yang dilarang mengerjakan solat sunat seperti selepas solat Subuh atau selepas solat Asar. Meskipun pada ketika itu berlaku sebab-sebab yang membolehkan mengerjakan solat sunat. Begitu juga tidak dibenarkan mengerjakan sujud syukur ketika mendengar khutbah Jumaat.
RUKUN SUJUD SYUKUR
1) Berniat untuk sujud syukur
2) Membaca takbiratul ihram ketika hendak sujud
3) Satu kali sujud
4) Memberi salam sesudah sujud
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.blogspot.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.blogspot.com
salam,adakah kita perlu berdiri tegak dahulu dan terus sujud?
ReplyDelete