Latest

Monday, December 05, 2011

11 Adab Berbicara

Adab berbicara merangkumi cara-cara berkomunikasi, memberi pendapat, komen, hujah dan syarahan dengan cara yang dianjurkan Islam. Sama-sama kita mengingatkan diri kita dan berusahalah kita mengamalkannya.

01. Bercakaplah dengan nada yang jelas tanpa ada rasa keraguan dan jangan bercakap dengan nada yang samar-samar, sebagaimana dalam hadis Aisyah R.A.:
Bahawasanya perkataan Rasulullah S.A.W. itu selalu jelas sehingga boleh difahami oleh semua yang mendengar.” 
(HR Abu Daud)

02. Jangan bercakap mengenai aib orang lain dan jangan memanggil seseorang dengan gelaran yang tidak menyenangkannya, berdasarkan Surah Al-Hujurat:11:
"Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; 
dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; 
dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; 
dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. 

Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."
dan juga hadis Nabi S.A.W:
Jika seseorang menceritakan suatu hal padamu lalu ia pergi, maka ceritanya itu menjadi amanah bagimu untuk menjaganya.” 
(HR Abu Daud dan Tirmidzi dan ia menghasankannya)

03. Jangan membuat fitnah dan menjauhi kata-kata keji, mencela, melaknat berdasarkan hadis Nabi S.A.W.:
Bukanlah seorang mukmin jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji.” 
(HR Tirmizi dengan sanad sahih)

04. Semua percakapan mestilah membawa kebaikan seperti dalam surah An-Nisa’, ayat 14 dan surah Al-Mukminun, ayat 3. Dalam hadis Nabi S.A.W. menyebutkan:
Barangsiapa yang beriman pada Allah dan pada hari akhir maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam.” 
(HR Bukhari & Muslim)

05. Seimbang dan menjauhi sikap berdolak-dalik, berdasarkan hadis Nabi S.A.W.:
Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku nanti di hari Kiamat ialah orang yang banyak bercakap dan bersikap sombong dalam bercakap.” Maka dikatakan: “Wahai Rasulullah, kami telah mengetahui erti ats-tsarsarun dan mutasyaddiqun, lalu apa makna al-mutafayhiqun?” maka jawab Nabi S.A.W.: “Orang-orang yang sombong.” 
(HR Tirmizi dan dihasankannya)

06. Mengulangi kata-kata penting jika diperlukan, dari Anas R.A. bahawa 
"Nabi S.A.W. jika bercakap maka baginda akan mengulanginya 3 kali sehingga semua yang mendengarkannya menjadi faham, dan apabila baginda mendatangi rumah seseorang maka baginda pun mengucapkan salam 3 kali." (HR Bukhari)

07. Menghindari banyak bercakap kerana khuatir membosankan orang yang mendengar, sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Wa’il:
Ibnu Mas’ud R.A. senantiasa mengajari kami setiap hari khamis, maka berkata seorang lelaki: “Wahai Abu Abdurrahman (gelaran Ibnu Mas’ud) Seandainya engkau mahu mengajari kami setiap hari?” Maka jawab Ibnu Mas’ud: “Sesungguhnya tidak ada yang menghalangiku memenuhi keinginanmu, hanya aku khuatir membosankan kalian, kerana aku pun pernah meminta yang demikian pada Nabi S.A.W. dan baginda menjawab khuatir membosankan kami.” 
(HR Muttafaq’alaih)

08. Menghindari mengucapkan yang batil, berdasarkan hadis Nabi S.A.W.:
Sesungguhnya seorang hamba mengucapkan satu kata yang diredhai Allah yang ia tidak mengira yang akan mendapatkan demikian sehingga dicatat oleh Allah SWT keredhaanNya bagi orang tersebut sampai nanti hari Kiamat. Dan seorang lelaki mengucapkan satu kata yang dimurkai Allah SWT yang tidak dikiranya akan demikian, maka Allah SWT mencatatnya yang demikian itu sampai hari Kiamat.” 
(HR Tirmizi dan ia berkata hadis hasan sahih; juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

09. Menjauhi perdebatan sengit, berdasarkan hadis Nabi S.A.W.:
Tidaklah sesat suatu kaum setelah mendapatkan hidayah untuk mereka, melainkan kerana terlalu banyak berdebat.” 
(HR Ahmad dan Tirmizi)
Dan dalam hadis lain disebutkan sabda Nabi S.A.W. :
Aku jamin rumah di dasar syurga bagi orang yang menghindari berdebat sekalipun ia benar, dan aku jamin rumah di tengah syurga bagi orang yang menghindari dusta walaupun dalam bercurau, dan aku jamin rumah di puncak syurga bagi yang baik akhlaknya.” 
(HR Abu Daud)

10. Menghindari dusta, berdasarkan hadis Nabi S.A.W.:
Tanda-tanda munafik itu ada 3, jika ia bicara berdusta, jika ia berjanji mengingkari dan jika ia diberi amanah ia khianat.” 
(HR Bukhari)

11. Menghindari ghibah (mengumpat) dan mengadu domba, berdasarkan hadis Nabi S.A.W.:
Janganlah kalian saling mendengki, dan janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling berkata-kata keji, dan janganlah kalian saling menghindari, dan janganlah kalian saling meng-ghibah satu dengan yang lain, dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara.” 
(HR Muttaafaq’alaih)

---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.blogspot.my

2 comments:

  1. salam

    saya mohon izin utk berkongsi tips yg dipaparkan.
    terima kasih

    puan hayati

    ReplyDelete
  2. Alhamdulilah, very good to practice.

    ReplyDelete

Please Join my facebook's fan page