Latest

Friday, April 22, 2011

Menggarap Fadhilat Jumaat



Petikan khutbah Jumaat:



Sidang Jumaat rahimakumullah,


Allah s.w.t telah menganugerahkan kepada kita satu hari dalam seminggu untuk kita berkumpul beribadah kepadanya. Hari tersebut adalah hari Jumaat. Berpandukan hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:


“Sebaik-baik hari dalam seminggu adalah hari Jumaat. Padanya Allah mencipta Nabi Adam, dan padanya juga dimasukkan ke Syurga, dan padanya juga dikeluarkan. Dan tidak terjadi hari Kiamat melainkan pada hari Jumaat.” Hadith riwayat 5 perawi kecuali Bukhari.

Maka hari Jumaat merupakan hari yang paling mulia dalam seminggu. Di dalamnya ada waktu yang sangat mustajab doa. Di dalamnya disyariatkan solat Jumaat. Di dalamnya disyariatkan khutbah Jumaat. Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Jumuah, ayat 9:

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk mengerjakan solat Jumaat maka bersegeralah kepada mengingati Allah dan tinggalkan jual-beli. Itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu ketahui.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Di antara hikmah Allah s.w.t mewajibkan solat Jumaat adalah agar kita sentiasa diperingati untuk menambahkan ketaqwaan kita kepada Allah. Malah wasiat untuk bertaqwa kepada Allah merupakan satu rukun yang wajib pada khutbah Jumaat. Begitu juga setiap hari Jumaat merupakan peluang untuk kita mendengar nasihat, peringatan dan kebesaran Allah s.w.t, agar kita memperbaharui keimanan kita kepada Allah, mengukuhkan lagi aqidah kita dan menambahkan lagi cinta kita kepada Islam. Inilah antara hikmah diadakan khutbah pada solat Jumaat.

Amat sedih sekali jika kita menganggap solat Jumaat ini sebagai satu perkara yang rutin, yang diulangi tanpa ada apa-apa kesan didalam jiwa. Malah lebih malang lagi apabila ada sebahagian kita menganggap waktu khutbah Jumaat sebagai waktu rehat, waktu melelapkan mata, waktu tidur. Ada sebahagian jemaah yang bukan sahaja tidak menghayati khutbah yang disampaikan, malah dibuai mimpi, seolah-olah khutbah Jumaat adalah cerita-cerita belaka. Tentu kita tidak mahu menjadi orang yang khayal ketika khutbah disampaikan. Tentunya kita tidak mahu menjadi orang yang tidur ketika khutbah disampaikan.

Kerana orang yang tidur dan khayal ketika khutbah disampaikan akan terlepas fadhilat mendengar khutbah, mereka akan terlepas meningkatkan ketaqwaan mereka. Akan terlepas dari mereka peluang untuk menambahkan keimanan mereka. Rasulullah s.a.w melarang kita dari berbual ketika khutbah sedang disampaikan. Sesiapa yang berbual maka akan terlepas pahala Jumaat mereka. Mengapa? Agar kita dapat menghayati khutbah. Inikan pula seorang yang tidur ketika khutbah disampaikan. Bagaimanakah mereka akan mendapat rahmat Allah?

Saudara-saudara sekelian,

Mungkin tajuk khutbah yang disampaikan sudah biasa kita dengar. Mungkin juga khatib yang menyampaikan khutbah tersebut tidak mahir berpidato. Mungkin juga kita tidak faham apa yang disampaikan. Tetapi ini bukan alasan untuk kita khayal atau tidur ketika khutbah disampaikan. Kerana rahmat yang Allah turunkan tidak bergantung keseluruhannya kepada isi khutbah Jumaat, ataupun cara khatib menyampaikan khutbah, ataupun bahasa khutbah itu sendiri. Rahmat yang Allah turunkan bergantung kepada tahap khusyuk dalam hati kita. Bagaimana kita boleh mendapat khusyuk kalau kita tidur? Jika kita tidak dapat menghayati khutbah, maka sebaiknya berzikirlah dalam hati. Atau kita mengingati kembali segala dosa-dosa dan maskiat yang kita telah lakukan. Dan bersegeralah meminta ampun daripada Allah s.w.t, moga-moga ketika kita memohon ampun dari Allah tersebut adalah waktu mustajab doa. Kita tidak tahu samada kita dapat berjumpa Jumaat akan datang atau tidak. Malah kita tidak tahu samada ajal kita akan tiba apabila kita selesai dari mengerjakan solat Jumaat ini. Maka anggaplah ini merupakan solat Jumaat yang terakhir kita di muka bumi ini. Anggaplah setiap Jumaat merupakan yang terakhir kita di muka bumi ini. Tidakkah kita mahu bertaubat sebelum ajal datang menyambar. Allah s.w.t berfirman:

“Bagi setiap umat ajalnya. Apabila datang ajal mereka maka tidak diperlambatkan atau dipercepatkan sedikitpun.”

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah memastikan bahawa niat kita diperbetulkan apabila kita ingin menunaikan solat Jumaat. Adakah kita pergi ke masjid hanya sekadar melepaskan tanggungjawab solat Jumaat? Adakah kita pergi ke masjid untuk berehat? Atau adakah kita pergi ke masjid untuk mendapat rahmat dari Allah? Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadith yang masyhur:

Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung kepada niat. Dan sesungguhnya setiap seorang mendapat hasil dari apa yang diniatkan. Oleh itu, marilah kita perbetulkan niat kita apabila kita ingin menunaikan solat Jumaat. Kita pergi ke masjid atas niat untuk mendapat rahmat Allah s.w.t. Insya Allah, rahmat Allah yang akan kita perolehi kelak. Dan dengan rahmat Allah, kita akan dapat mempertingkatkan ketaqwaan dan keimanan kita kepada Allah. Firman Allah s.w.t:

“Sesungguhnya mereka yang memakmurkan masjid-masjid Allah adalah mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan mereka tidak takut kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka tergolong dalam orang-orang yang diberi petunjuk.” (At-Taubah, 18)

----------  
CEO / Consultant: http://ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting: http://alfalahconsulting.com 
Islamic investment: http://islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment

Please Join my facebook's fan page