Malaikat Mendoakan Kebaikan Kepada Pendoa
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ
Daripada Abi Darda r.a dia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: 'Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan, melainkan malaikat akan mendoakannya pula: 'Dan bagimu kebaikan yang sama.'
(Hadis riwayat Muslim No: 4912)
Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Antara adab persaudaraan dan menjaga ukhuwah serta berkasih sayang sesama Muslim ialah mendoakan kebaikan kepada sahabat kita.
2. Mereka yang mendoakan sahabatnya tanpa pengetahuan orang yang didoakan, menunjukkan keikhlasan hatinya dan malaikat juga akan mendoakan kebaikan yang sama untuk dirinya.
3. Mendoakan sahabat yang lain walaupun tanpa diminta mencerminkan menifestasi ukhuwah Islamiah sejati. Dia tidak hanya memikirkan kebaikan untuk dirinya malah juga untuk saudara muslim yang lain.
4. Doa seseorang kepada sahabatnya tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Sepertimana hadis Rasulullah s.a.w:
Daripada Safwan bin Abdillah r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
Maksudnya: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”. (Riwayat Muslim No: 4914)
Status: Hadis Sahih
Marilah kita doakan saudara Muslim kita khususnya di Palestin diberikan kekuatan, ketabahan dan kemenangan. Jangan lupa doakan juga pemimpin kita dengan kebaikan. Moga dapat memacu Malaysia menjadi negara yang baik dan dirahmati.
Al-Fudhayl bin 'Iyadh berkata: "Jika aku memiliki satu doa yang mustajab, nescaya akan kudoakan (kebaikan) buat sang pemimpin" (Abu Nu'aym al-Asbahani).
Imam Ahmad bin Hanbal mewajibkan dirinya untuk mendoakan ulil amri siang dan malam supaya dikurniakan ketepatan, taufik dan pertolongan.