Saturday, February 15, 2014

Pelajaran dan Kelebihan Surah Al-Waqiah.

Di dalam al-Quran mengandungi 114 surah semuanya. Terdapat beberapa surah penting yang mempunyai kelebihan untuk diamalkan sebagai bacaan setiap hari. Antara surah tersebut adalah surah al-Waqiah. Surah al-Waqiah adalah surah yang ke 56 di dalam al-Quran yang mengandungi 96 ayat. Surah ini di turunkan di Makkah. Surah ini menjelaskan tentang kejadian hari kiamat, syurga dan neraka.


Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa ayat ke 13-14 yang berbunyi : "Segolongan besar dari orang-orang terdahulu dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian" dirasakan berat oleh para sahabat. Maka dari itu, turun ayat ke 39-40 yang berbunyi : "Segolongan besar dari orang-orang terdahulu dan segolongan besar pula dari orang-orang yang kemudian." Dengan demikian, syurga akan seimbang antara orang yang terdahulu dan orang yang kemudian.


Surah al-Waqiah begitu jelas sekali menyuruh manusia supaya sedar bahawa manusia perlu meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dengan mempercayai rukun iman yang kelima iaitu mempercayai hari kiamat itu wujud. Pada hari kiamatlah di mana semua manusia seawal Nabi Adam sehinggalah ke akhir-akhir zaman manusia akan dihitung dan diberi ganjaran di atas setiap bentuk perbuatan mereka. Di hari itu nanti tidak akan ada seorang pun yang mampu menyembunyikan apa-apa jua serta mendustakan apa-apa jua melainkan semuanya sudah diketahui. Mereka yang tidak bertakwa akan diselubungi dengan seribu penyesalan yang sia-sia. Mereka kelak akan dihumban ke dalam api neraka dan diberi minum dari air yang mendidih dan diberi makan dari pohon zaqqun.

Beruntunglah orang-orang yang beriman dan membenarkan hukum Allah. Golongan ini akan mendapat kemenangan, kenikmatan dan kebahagiaan di dalam syurga. Nikmat syurga adalah nikmat yang abadi dan ianya sedikitpun belum pernah menyamai nikmat kebahagiaan di dunia. Sekiranya kita yang mengecapi nikmat kebahagiaan di dunia sudah merasa betapa besar pemberian Allah kepada kita, apatah lagi apabila berada di syurga kelak. Tidak dapat terjangkau oleh pemikiran kita. Subhanallah!

Setelah memahami serba sedikit tentang maksud ayat-ayat di dalam surah al-Waqiah,  marilah kita melihat dan mengetahui kelebihan-kelebihan tentang surah ini. Memang kita ketahui semua ayat al-Quran mempunyai kelebihan dan manafaat. Allah tidak membezakan atau melebihkan sesetengah ayat al-Quran berbanding yang lain sepertimana di dalam surah al-Anam ayat 38 yang bermaksud "Tiadalah kami alpakan sesuatu pun dalam al-kitab dan pada Tuhanlah mereka semua dihimpunkan."

Sahabat yang dimuliakan,
Nabi S.A.W. juga tidak menyebut bahawa sesetengah ayat al-Quran itu mempunyai kelebihan dalam menyempurnakan sesuatu perkara. Oleh itu kita perlu beranggapan bahawa semua ayat di dalam al-Quran adalah sama rata kelebihannya. Dengan ini jelaslah bahawa sesiapa yang membaca al-Quran secara istiqamah dan sempurna tidak kira apa surah dan ayat sekalipun, insyaAllah, dia bakal menerima kebaikan di dunia dan akhirat.

Namun demikian Allah berfirman pula di dalam surah al-Baqarah ayat 269 yang bermaksud "Allah menganugerahkan hikmah iaitu kefahaman mengenai al-Quran dan sunah kepada siapa yang Dia kehendaki. Sesiapa yang menerima hikmah itu, dia benar-benar mendapat kurnia yang banyak."

Di dalam mengharungi hidup manusia perlu bekerja untuk menyara hidup sendiri mahupun keluarga. Kestabilan ekonomi sesebuah keluarga perlu untuk menjamin kebahagiaan dan kemakmuran. Kebahagiaan itu akan memberikan kita ketenangan supaya kita dapat beribadat dengan selesa tanpa memikirkan kesusahan mencari rezeki. Untuk itu kita perlu melakukan ataupun mengamalkan perkara-perkara yang membolehkan kita mendapat rezeki.

Ramai yang mengetahui bahawa amalan surah al-Waqiah ini akan memberikan kekayaan serta rezeki yang melimpah ruah. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Siapa yang membaca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. "
(Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.)

Kekuatan surah al-Waqiah juga ada dijelaskan di dalam ayat 89 hingga 91. Firman Allah S.W.T maksudnya : " maka dia memperoleh ketenteraman dan rezeki serta syurga (yang penuh) kenikmatan. Dan adapun jika dia termasuk golongan kanan maka, "Salam bagimu (wahai) dari golongan kanan! (sambut malaikat)"
(Surah al-Waqiah ayat 89-91)

Ia menjelaskan bahawa sesiapa yang dekat kepada Allah, dia akan menemui kebaikan. Dan barang siapa yang mengingkari Allah, dia akan menemui kepedihan. Di dalam ayat 75 hingga 82 juga ada menyebut peringatan Allah bahawa semua yang berlaku adalah dalam ketetapanNya.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Lalu Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang. Dan sesungguhnya itu benar-benar sumpah yang besar sekiranya kamu mengetahui dan (ini) sesungguhnya al-Quran yang sangat mulia, dan kitab yang terpelihara (Loh mahfuz) tidak ada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan. Diturunkan dari Tuhan seluruh alam. Apakah kamu menganggap remeh berita ini (al-Quran)?"
(Surah al-Waqiah ayat 75-82)

Termasuklah rezeki. Manusia boleh berdoa dan berusaha tetapi yang menentukan segalanya adalah Allah. Namun amalan surah ini mestilah disertakan dengan usaha dan kerajinan dalam melakukan kerja. Tidak boleh berpeluk tubuh saja. Tidak ada doa yang akan termakbul dengan sendiri tanpa usaha.

Doa dan usaha perlulah seimbang. Malah sesiapa yang berusaha serta mengamalkan pembacaan surah ini lalu disertakan juga amalan-amalan yang lain seperti solat sunat Duha, beramal soleh, solat sunat tahajud dan solat sunat hajat , sentasa berwuduk, menghubungkan silaturahim, menghormati ibu bapa, pasti akan memberi lebih keberkesanan lagi. Niat melakukan kerja juga memainkan peranan penting. Niat menambah rezeki mestilah kerana Allah dan untuk disalurkan ke jalan Allah. Jalan untuk melakukan kerja juga mestilah dengan cara yang halal.

Saranan bahawa surah al-Waqiah ini dibaca pada waktu malam dikuatkan dengan pembentangan surah al Muzammil ayat 20, firman Allah S.W.T maksudnya : "Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang tahajud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama seperduanya, dan selama sepertiganya dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu) padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang.."

Di dalam ayat-ayat al Quran itu Allah sering menyeru manusia supaya bangun beribadat di malam hari di ketika manusia-manusia lain sedang di alun mimpi. Di malam hari juga turunnya para malaikat dan Jibril dengan izin Allah bagi mengatur semua urusan.

Mengenai jumlah bacaan yang perlu dibaca, tidak dapat dipastikan. Tidak ada saranan supaya surah ini dibaca beberapa kali. Namun adalah elok sekira ianya dapat dibaca lebih dari sekali mengikut kemampuan. Kerana sekiranya ia dibaca sekali sahaja ianya kurang berkesan di hati lalu akan menjadi kurang mustajab. Membaca surah al-Waqiah, atau apa-apa surah sekali pun adalah ibarat kita mengingati Allah. Semakin banyak kita membacanya, semakin dekat kita dengan Allah. Jadi bacalah ia berkali-kali dengan khusyuk dan tawaduk.

Setelah segala usaha bersama doa yang dilakukan dengan khusyuk dan istiqamah bagi tujuan untuk mendapatkan rezeki, apa yang perlu dilakukan selepas itu adalah dengan berserah kepada Allah. Hanya Allah lah yang mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Sekiranya Allah mengurniakan sesuatu yang tidak sesuai kepada hambanya, sesungguhnya Allah lebih mengetahui dan perlu diterima dengan hati yang reda. Perlu diingat bahawa Allah selalu menguji hamba-Nya bukan saja dengan kesulitan tetapi juga dengan kesenangan dan kenikmatan.

Dengan membaca surah al-Waqiah dalam aspek jiwa, jiwa akan menjadi lebih tenang. al-Quran dapat mengubah peribadi seseorang manusia daripada negatif kepada positif sekiranya diamalkan dengan cara istiqamah dan tawaduk. Surah al-Waqiah yang dibaca mampu merawat jiwa yang gelisah menjadi tenang, fikiran yang kacau menjadi rapi dan tersusun.

Kelebihan orang-orang yang membaca al-Quran secara khusuk dan istiqamah akan diberikan keberuntungan yang berlipat kali ganda oleh Allah. Tak kiralah samada dari segi kekayaan di dunia mahupun kesenangan di akhirat. Tetapi bagi mereka yang kufur dan menentang ajaran Allah, orang-orang ini akan dijauhkan nikmat-nikmat Allah dan rahmatNya. Pun begitu semuanya terserah bulat-bulat kepada Allah tentang siapa yang akan diberikan rahmat dan hidayatNya. Sepertimana disebutkan di dalam surah az Zumar ayat 52 yang membawa maksud " Tidakkah mereka mengetahui Allah melapangkan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya itu adalah tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang beriman."

Kelak apabila hari kiamat berlaku, tiada siapa yg boleh menafikanya, ini untuk menolak dakwaan orang-orang kafir yang tidak percaya akan adanya hari kiamat. Mati dan hari kiamat adalah pasti. Fungsi mati dan hari kiamat ini ialah untuk menjatuhkan dan meninggikan darjat manusia. Nanti pada hari kiamat Allah akan merendahkan sebahagian kaum dan meninggikan sebahagian kaum, yang direndahkan akan ke neraka manakala yang ditinggikan darjatnya dimasukkan ke syurga. Seorang yang kaya raya tetapi kafir dan jahat pasti akan dijatuhkan manakala yang miskin tetapi beriman dan beramal soleh pasti akan ditinggikan.

Kelak bila terjadinya kiamat, bumi keseluruhannya bergoncang segoncang2nya menjadi gempa bumi yang sangat dahsyat, penghuninya menjadi hancur lebur selumat-lumatnya, binasa termasuk gunung-ganang menjadi debu berterbangan padahal satu ketika dulu tegak gagak berdiri. Ketika itu manusia akan dikumpulkan menjadi tiga golongan:

1. Golongan kanan (ashabul yamin) dinamakan juga golongan bahagia (ashabul maimanah)

2. Golongan kiri (ashabul syimal) dinamakan juga golongan sengsara (ashabul masy'amah).

3. Golongan terdahulu (as-sabiqun) dinamai juga golongan dihampiri oleh Tuhan (al-muqarrabun).

Siapakah orang-orang yang ada dalam golongan ini?

1. Golongan kanan / golongan bahagia ialah mereka yg diberi kitab amalan daripada sebelah kanan, yang akan menjadi penghuni syurga, yang paling senang hidupnya di syurga.

2. Golongan kiri / golongan sengsara ialah orang-orang yang diberi kitab amalan masing-masing daripada sebelah kiri yang akan menjadi penghuni neraka yang kehidupan mereka amat sukar dan amat azab.

3. Golongan terdahulu / golongan dihampiri oleh Tuhan. Golongan ini, seumpama jika di dunia sekarang, orang panggil 'Very Important Persons'. Mereka adalah orang yg sangat istimewa kerana merekalah yang terdahulu masuk Islam /beriman. Golongan ini pula kebanyakannya daripada orang-orang terdahulu dan sedikit daripada orang-orang yang kemudian.

Berkenaan siapakah orang-orang terdahulu dan orang-orang kemudian para pentafsir berbeza pendapat. Ada yang mengatakan yang terdahulu itu ialah orang yang lebih dahulu masuk syurga. Ada juga yang berpendapat orang-orang terdahulu ialah orang-orang yang lebih awal masuk Islam semasa zaman Rasulullah S.A.W, ada pula yg berpendapat pengikut Para Nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad S.A.W. Ada juga yang menyatakan bahawa pejuang-pejuang yang bersama-sama dengan Nabi-nabi dan Rasul-rasul sebelum dan semasa Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut tafsir oleh Ahmad Sonhadji Mohamad 'golongan terdahulu' ini ialah golongan yang paling dahulu beriman, yang mendapat darjat paling tinggi dalam syurga. Mereka ini telah mendahului golongan yang lain untuk berbuat taat semasa berada di dunia. Ini kerana siapa yang cepat berbuat kebaikan merekalah yang paling dahulu layak mendapat penghormatan di akhirat. Golongan inilah yang paling hampir dengan Allah, berada di bawah lindungan Arasy dan ditempatkan di tempat yang mulia iaitu syurga Jannatun Na'im, tempat yang kekal untuk bersenang lenang.

Orang-orang yang hampir kepad Allah (al-muqarrabun) dan orang-orang yang paling dahulu (as-sabiqun), inilah merupakan kumpulan yang paling ramai, sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada para Nabi kerana mereka adalah golongan orang terdahulu dan ramai pula orang yang beriman kepada ajaran Allah yang disampaikan oleh mereka, manakala orang-orang yang terkemudian amatlah sedikit. Kumpulan terdahulu yang ramai dan yang terkemudian yang sedikit ini berada dalam kebun kenikmatan syurga, terdapat pelbagai jenis buah-buahan, penghuni syurga semuanya berehat atas katil yang bertatahkan emas permata dengan berkeadaan berbaring dan bertelekan, berhadapan-hadapan serta dilayani anak-anak  muda yang berkhidmat sebagai khadam.

Anak-anak muda ini berseri-seri muka dan sentiasa muda. Mereka membawa hidangan berupa mangkuk-mangkuk, cerek-cerek yang berkilat dan gelas-gelas berisi arak yg apabila diminum tidak memabukkan. Mereka beroleh buah-buahan yang banyak dan pelbagai jenis.

Menurut Ibnu Abbas apabila seorang daripada tergerak inginkan daging burung, maka akan terbanglah seekor burung dan terhidanglah daging burung yg telahpun dimasak. Begitulah kenikmatan syurga terhadap orang-orang yang beriman yang menjadi penghuni syurga. Kata Ar-Razi, didahulukan buah-buahan daripada makanan kerana di syurga, penghuninya sentiasa kekenyangan, mereka makan hanya sebagai pencuci mulut. Di samping itu mereka disediakan bidadari-bidadari jelita untuk bersenang-senang dengan mereka, kulit bidadari-bidadari tersebut putih berseri-seri, berwajah manis seolah-olah permata (diumpamakan bagai berlian yg tersimpan lagi mengghairahkan) sebagai balasan terhadap amalan baik mereka.

Kemudian Allah mengkhabarkan bahawa di dalam syurga penghuni-penghuninya tidak pernah mendengar kata-kata yang sia-sia dan yang mendatangkan dosa. Yang ada hanyalah ucapan "selamat sejahtera!" yakni sebaran salam sesama mereka.

Golongan kanan ialah golongan yang hidup mewah dan berkedudukan tinggi dalam syurga. Mereka tinggal dalam perkebunan teratai yang tidak berduri, malahan setiap durinya ditumbuhi buah. Jika buah itu dikopek akan terbelah dua dan mempunyai 70 jenis rasa dan ada lagi buah-buahan lain yang tidak sama rasa dengannya.

Demikian menurut hadis al-Hakim dan al-Baihaqi. Terdapat perkebunan pisang yang tersusun buahnya, memenuhi tandan dari bawah terus ke atas. Mereka dilindungi di bawah lindungan yang terbentang luas, kekal sepanjang masa tidak terkena matahari kerana syurga suasananya sentiasa redup seperti yang disebut juga dalam ayat 13 surah  al-Insaan:

لَا يَرَوۡنَ فِيہَا شَمۡسً۬ا وَلَا زَمۡهَرِيرً۬ا (١٣

Maksudnya: "Mereka tidak melihat (merasakan teriknya) matahari dan tidak pula dingin yang berlebihan" (Surah al-Insan ayat 13)

Ada pula air yang tercurah sentiasa mengalir siang dan malam dan banyak pula buah-buahan yang berbuah tidak ikut musimnya dan tidak pula dilarang untuk mengambilnya. Terdapat pula tilam-tilam yang lembut yang boleh direndahkan dan ditinggikan.

Allah menyatakan di syurga Dia menciptakan para wanita dengan ciptaan yang ajaib, untuk ahli syurga diciptakan sentiasa baru dengan bentuk yg begitu indah lagi amat ajaib. Bahkan perempuan-perempuan yang tua semasa di dunia nanti akan dikembalikan muda dan yang hodoh akan dikembalikan cantik.

Allah menyatakan juga setiap wanita itu sentiasa gadis biarpun setelah disetubuhi oleh suami masing-masing, sifatnya sentiasa merindu dendam kepada suami, sentiasa cinta yang asyik kepada suami. Umur mereka pula sama sebaya.

Adalah diriwayatkan daripada Ummi Salamah r.ha katanya: Saya menanyakan Rasulullah S.A.W. tentang firman Allah,

إِنَّآ أَنشَأۡنَـٰهُنَّ إِنشَآءً۬ (٣٥) فَجَعَلۡنَـٰهُنَّ أَبۡكَارًا (٣٦) عُرُبًا أَتۡرَابً۬ا(٣٧

lalu dijawab oleh baginda: "Hai ummi Salamah merekalah wanita-wanita yang telah meninggal dunia berkeadaan tua, botak, rabun dan sakit mata, dibangkitkan Allah berkeadaan muda belia"

Dalam hadis at-Tirmizi disebutkan, bahawa seorang perempuan tua datang menemui Nabi Muhammad S.A.W. lalu memohon: "Wahai Rasulullah bermohonlah tuan kepada Allah agar saya dimasukkan ke dalam syurga". Di jawab oleh Rasulullah S.A.W. : "Hai Ibu Polan, sesungguhnya syurga itu tiada dimasuki oleh orang-orang tua". Maka orang tua itu beredar sambil menangis, lalu ujar baginda kepada para sahabat : "Khabarkan kepada perempuan tua itu, bahawasanya tidak masuk syurga dalam keadaan tua seperti yang dinyatakan dalam ayat di atas."

Golongan kiri ialah golongan yang diberi kitab amalan pada tangan kiri mendapat balasan yang buruk, hidup dalam suasana udara dan angin yang panas yg ditiupkan dari neraka Samum yang sangat panas dan sangat busuk baunya. Mereka diletakkan di bawah lindungan asap yg hitam dan berbau busuk itu. Tiada pula naungan yg sejuk padahal dahulu semasa di dunia merekalah yang hidup paling senang dan sentiasa menurut nafsu syahwat dan berterusan membuat dosa dan menyekutukan Allah. Pada mereka peringatan tentang akhirat adalah omongan kosong. Mereka sesat dan di akhirat mereka diberi makanan daripada pohon zaqqum dan minuman berapa minuman mendidih. Meraka minum seperti unta yg sangat haus.

Dalam ayat 57 hingga 82, Allah mengemukakan alasan-alasan supaya mereka percayakan adanya akhirat.. yakni bila Allah sudah dapat menciptakan kehidupan sekarang mengapa pula Allah tidak boleh menciptakan kehidupan pada masa akan datang. Begitu juga Allah menciptakan manusia daripada setetes mani yang mengandungi berjuta-juta sperma, dan daripada satu persejuta titik sperma itulah asal kejadian seseorang.

Bila Allah sudah terbukti menciptakan manusia daripada sperma mengapa pula tidak mempercayai kehidupan selepas mati. Kemudian perhatikan pula setiap hari ribuan manusia yang mati dan ribuan pula yang lahir ke dunia. Ini juga menunjukan Allah S.W.T.  boleh menghidupkan setiap yang telah mati. Perhatikan pula tumbuh-tumbuhan, siapa pula yang menumbuhkannya, manusia hanya mampu mencangkul tanah, menggemburkan dan menabur benih, siapakah yang menumbuhkannya dan siapa pula yang menjadikan pelbagai bentuk tumbuh-tumbuhan dan pelbagai buah-buahan dan pelbagai warna dan rasa buah-buahan? Jadi begitulah juga Allah menghidupkan semula manusi yang telah mati.

Perhatikan juga pada air yang kita minum, siapakah yang mengangkatnya dari laut ke awan kemudian mengumpulkannya sebagai wap lalu menurunkannya sebagai hujan atupun embun ketika malam? Air laut rasanya masin sedangkan air hujan rasanya tawar, air hujan mengalir ke bumi menyuburkan tanaman sebagai makanan, bertakung ke tasik mengalir ke sungai-sungai, siapakah yang mengatur semuanya itu? Jika Allah memberi kita minum dan menjadikan tanam-tanaman subur daripada air itu mengapa pula Alllah tidak boleh menghidupkan semula makhluk yang telah mati?

Begitu juga perhatikan pula kepada api, siapakah yang menyalakannya sehingga manusia dapat gunakan untuk memasak, memanaskan badan di musim sejuk?

Kemudian Allah bersumpah di atas kemuliaan al-Quran dan ketinggian martabat-Nya, kerana Dialah Allah Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Ungkapan kata-kata-Nya itu dikuatkan dengan  sumpah masa terbenam bintang-bintang, sumpahNya supaya manusia mengetahui betapa besar kudrat Allah dan kesempurnaan hikmatNya serta banyak rahmatNya, dan Dia tidak membiarkan hamba-hamba-Nya berkeadaan sia-sia Allah menurunkan al-Quran secara beransur-ansur Al-Quran adalah kitab yang terpelihara hanya disentuh oleh orang-orang yang suci, oleh itu tidak seharusnya manusi menanggap remeh akan pengajarannya.

Kematian yang dirasai ialah ketika nyawa sampai di kerongkongan, iaitu semasa menghadapi kesengsaraan maut (sakaratul maut) iaitu ketika roh dicabut oleh malaikat. Allah memberi amaran bahawa ketika nazak, sakitnya tidak terhingga, ketika tercungap-cungap kerana nyawa akan tercabut, Allah lebih dekat kepada mayat yang akan dicabut nyawa berbanding dengan pengetahuan manusia tentang kematian itu. Manusia tidak  dapat melihat malaikat-malaikat yang Allah utuskan untuk mencabut nyawa orang yang sedang nazak. Allah menempelak, Jadi jika manusia tidak dikuasai oleh Allah mengapa ketika orang itu sedang nazak manusia yang melihatnya tidak dapat mengembalikan nyawa orang yang sedang nazak dan tercabut nyawanya itu? Cubalah lakukan jika tidak percaya kepada hari Pembalasan. Jadi janganlah mendustakan ayat-ayat  al-Quran.

Orang-orang yang sedang nazak ini diberitahu oleh Allah jika mereka terdiri daripada golongan al-muqarrabin Allah dekatkan mereka di sisi-Nya dengan memperoleh kerehatan dan nikmat syurga. Jika mereka golongan kanan para malaikat akan menggembirakan mereka dengan ucapan selamat sejahtera. Jika mereka golongan yg mendustakan hari akhirat lagi sesat hidupnya, mereka disambut oleh para malaikat dengan hidangan pertama mereka ialah air yang panas mendidih menyebabkan muka mereka terbakar. Kemudian mereka dihumbankan ke neraka.

Marilah sama-sama kita menghayati pengajaran yang terdapat di dalam surah al-Waqiah ini, merupakan satu surah yang jelas menceritakan tentang kenikmatan hidup di syurga dan azab yang diterima akibat daripada mendustakan ayat-ayat Allah S.W.T. dan tidak meyakini akan kehidupan di hari akhirat.

Mudah-mudahan dengan membaca kisah yg digambarkan ini hati kita semakin gerun untuk berbuat maksiat. Marilah kita berusaha bersungguh membersihkan hati kita dan berdoa agar Allah bantu kita dalam beribadat kepadaNya.
(tazkirah-umum)
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com 
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.net

1 comment:

  1. Surah ni memang jadi amalan saya. Namun, bacaan pagi tadi selepas Dhuha sangat terkesan pada jiwa saya hingga mengalirkan air mata dan sehingga sekarang saya masih meremang mengingatkan makna-makna ayat dala al-waqiah tersebut. anak saya juga hairan kenapa saya menangis masa mengaji tadi..

    ReplyDelete