Saturday, April 16, 2011

Doa: Sabda Nabi SAW: “Doa saudaraku Yunus amat menakjubkan..."



Sabda Nabi SAW: “Doa saudaraku Yunus amat menakjubkan; permulaannya tahlil, pertengahannya tasbih dan penghujungnya pengakuan melakukan dosa. Sesiapa yang berdukacita, berada dalam kekusutan, ditimpa kesusahan dan dibebani hutang pada suatu hari, lalu ia membacanya sebanyak tiga kali, nescaya dimakbulkan untuknya.”




لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya : "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri"

(Al-Quran, Surah Al-Anbiya' : 87)




Ibnu sunni meriwayatkan : Rasulullah s.a.w telah menerangkan bahawa barangsiapa yang membaca kalimah ini, orang itu akan dilapangkan Allah dari segala kesempitan. Kalimah itu ialah doa yang diucapkan oleh nabi Allah Yunus ketika di dalam perut ikan Nun. 


Menurut riwayat, nabi Allah Yunus telah dicampakkan ke laut setelah diundi beberapa kali, tatkala kapal yang dinaiki oleh baginda hampir karam. Allah memerintahkan kepada ikan Nun untuk menelannya. Keadaan di dalam perut ikan Nun itu sungguh tidak selesa dan baginda berharap agar Allah mengeluarkan baginda dari perut ikan tersebut. Allah telah mengilhamkan Nabi Allah Yunus untuk membaca doa tersebut. Dan apabila Nabi Allah Yunus membaca doa tersebut, baginda terasa lapang dan tenang. Akhirnya Nabi Allah Yunus terselamat apabila dimuntahkan kembali oleh ikan Nun dan baginda terdampar di tepi pantai serta diselamatkan oleh orang lain. 


Jadi, jikalau kita rasa susah hati dan menghadapi kesusahan serta kepayahan, maka bacalah doa ini. Disamping itu kita jangan lupa berdoa dan mengharapkan pertolongan Allah. Zikir ini juga dapat mengukuhkan iman dan menimbulkan keinsafan di dalam diri kita. Tatkala kita membacanya patut kita hayati sungguh-sungguh bahawa kita telah menzalimi diri kita. Oleh itu kita bertaubat daripada segala dosa, samada kecil atau besar, yang disedari atau tidak, terhadap manusia atau dosa terhadap Allah. Mudah mudahan Allah mengampunkan segala dosa kita dan melapangkan segala kesempitan kita.



Berikut adalah RAHSIA disebalik DOA Nabi Yunus :

Rahsia 1:

Rahsia pertama, perhatikan bahawa doa ini dibuka dengan kalimah tauhid “Tiada Tuhan melainkan Allah”. Kalimah tauhid tidak sekadar bermaksud tiada tuhan yang berhak aku sembah melainkan Allah, tetapi dalam konteks ini juga bermaksud tiada tuhan yang patut aku mengadu, mengharapkan keampunan dan menghajatkan keselamatan melainkan Allah. Pembukaan seperti ini membuktikan kemantapan dan ketulenan tauhid Nabi Yunus di mana beliau tidak mengadu, merungut dan berharap kepada sesiapa dan apa jua melainkan kepada Allah sahaja.

Ini merupakan manhaj para Rasul dan Nabi yang mesti kita ikuti. 
Perhatikan – sebagai contoh lain – sikap Nabi Ayyub ketika beliau ditimpa penyakit. Beliau tidak mengadu kepada para doktor atau selainnya, tetapi mengadu kepada Allah sahaja: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” [al-Anbiya 21:83]

Rahsia 2:

Seterusnya Nabi Yunus mengucapkan “Maha Suci Engkau (ya Allah)”, bererti mensucikan Allah dari sebarang bentuk kezaliman atau penganiayaan. Lebih mendalam, Nabi Yunus menyucikan Allah bahawa apa yang menimpanya saat itu (ditelan oleh ikan paus) bukanlah merupakan satu bentuk penganiayaan oleh Allah ke atas dirinya.

Penyucian ini penting ditegaskan kerana kadangkala apabila ditimpa kesusahan, kita marah atau menyalahkan Allah. Malah kita menuduh Allah sebagai konon sengaja menganiaya diri kita. Maha Suci Allah dari menganiaya manusia, tetapi manusialah yang menganiaya diri mereka sendiri: “Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” [al-Nahl 16:118]

Rahsia 3:

Tanpa keberatan, tanpa alasan yang berlapik-lapik, Nabi Yunus terus mengaku kesalahannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Nabi Yunus tidak terus meminta ampun kepada Allah, sebaliknya memilih cara yang lebih lembut, beradab lagi merendah diri, yakni dengan mengakui kesalahan dirinya sendiri.

Selain itu Nabi Yunus sedar bahawa kesusahan yang menimpanya saat itu, iaitu ditelan oleh ikan paus, merupakan kesan dari kesalahan dirinya sendiri yang melarikan diri dari tugas dakwah yang Allah amanahkan kepadanya. Merupakan sesuatu yang sedia dimaklumi bahawa salah satu faktor seseorang itu ditimpa kesusahan dan kesulitan ialah kerana dosa-dosa hasil dari kesalahan yang pernah dia lakukan sendiri. Allah menyatakan hakikat ini:

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” [al-Shura 42:30]



(susunan: Ahmad Sanusi Husain) 


----------  
CEO / Consultant: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting: wwww.alfalahconsulting.com 
Islamic investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment