Tuesday, December 12, 2023

Solat Taubat


Solat Taubat

Di antara rahmat Allah S.W.T kepada para hamba-Nya adalah dengan memberikan peluang dan ruang untuk mereka kembali kepada-Nya setelah melakukan maksiat dan dosa. Pintu taubat itu sentiasa terbuka bagi sesiapa sahaja yang mencarinya.

Taubat berasal dari perkataan تاب إلى الله توبا iaitu kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Ia juga membawa maksud meninggalkan maksiat. Manakala istitabah membawa erti meminta seorang untuk bertaubat. Rujuk Basooir Zawi Al-Tamyiiz (2/304).

Manakala dari sudut istilah, taubat adalah sebagaimana yang didefinisikan oleh Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: Sesungguhnya taubat itu adalah suatu ibarat terhadap penyesalan yang mewariskan keazaman dan kehendak (untuk meninggalkan dosa), serta penyesalan tersebut mewariskan ilmu bahawa maksiat-maksiat itu merupakan penghalang di antara seseorang itu dengan kekasihnya. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (14/192).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakr Al-Siddiq R.anh beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ‏ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ ‏‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ ‏ إِلَى آخِرِ الآيَةِ

Maksudnya: Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini:

‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ

Maksudnya: Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah. [Surah Aali Imran: 135]

Riwayat Abu Dawud (1521)

Berdasarkan hadis di atas, baginda Nabi S.A.W memberikan suatu cara untuk seseorang yang telah melakukan dosa itu membersihkan diri mereka dari perbuatan tersebut. Iaitu dengan cara mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat dua rakaat dan dituruti dengan istighfar kepada Allah S.W.T.

Kata al-Syeikh Mulla ‘Ali Al-Qari Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Yang dimaksudkan dengan beristighfar di dalam hadis ini adalah taubat yang berterusan dan berhenti dari melakukan maksiat tersebut seerta berazam untuk tidak kembali melakukannya buat selamanya. Rujuk Al-Mirqaat Al-Mafatiih, Mulla ‘Ali Al-Qari (3/988).