Wednesday, August 02, 2023

Solat Taubat

Solat Taubat

Di antara rahmat Allah S.W.T kepada para hamba-Nya adalah dengan memberikan peluang dan ruang untuk mereka kembali kepada-Nya setelah melakukan maksiat dan dosa. Pintu taubat itu sentiasa terbuka bagi sesiapa sahaja yang mencarinya.

Taubat berasal dari perkataan تاب إلى الله توبا iaitu kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Ia juga membawa maksud meninggalkan maksiat. Manakala istitabah membawa erti meminta seorang untuk bertaubat. Rujuk Basooir Zawi Al-Tamyiiz (2/304).

Manakala dari sudut istilah, taubat adalah sebagaimana yang didefinisikan oleh Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: Sesungguhnya taubat itu adalah suatu ibarat terhadap penyesalan yang mewariskan keazaman dan kehendak (untuk meninggalkan dosa), serta penyesalan tersebut mewariskan ilmu bahawa maksiat-maksiat itu merupakan penghalang di antara seseorang itu dengan kekasihnya. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (14/192).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakr Al-Siddiq R.anh beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ‏ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ ‏‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ ‏ إِلَى آخِرِ الآيَةِ

Maksudnya: Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini:

‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ

Maksudnya: Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah. [Surah Aali Imran: 135]

Riwayat Abu Dawud (1521)

Berdasarkan hadis di atas, baginda Nabi S.A.W memberikan suatu cara untuk seseorang yang telah melakukan dosa itu membersihkan diri mereka dari perbuatan tersebut. Iaitu dengan cara mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat dua rakaat dan dituruti dengan istighfar kepada Allah S.W.T.

Kata al-Syeikh Mulla ‘Ali Al-Qari Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Yang dimaksudkan dengan beristighfar di dalam hadis ini adalah taubat yang berterusan dan berhenti dari melakukan maksiat tersebut seerta berazam untuk tidak kembali melakukannya buat selamanya. Rujuk Al-Mirqaat Al-Mafatiih, Mulla ‘Ali Al-Qari (3/988).

#istighfar #taubat #solattaubat #taubatnasuha

Adab Berzikir

Adab Berzikir

1. Ucapan zikir hendaklah dengan suara perlahan seperti berbisik. Hal ini dijelaskan dengan maksud ‘Fi nafsika (pada dirimu)’, bererti jangan sampai didengar orang lain. Cara ini lebih hampir kepada ikhlas, dimakbulkan dan jauh daripada riak.

2. Berzikir dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri dan mengakui kekurangan dan kelemahan diri pada Allah swt.

3. Dilakukan dengan perasaan taqwa (takut kepada Allah swt). Bimbang jika amalan tidak diterima oleh Allah swt. Oleh itu, kita sentiasa berusaha berzikir dengan ikhlas dan persembahkan amalan yang terbaik kepada Allah swt.

4. Zikir dilafazkan dengan lisan, bukan sekadar dibaca dalam hati. Namun, bacaan lisan zikir secara perlahan sahaja. Berkata Ibnu Kathir, “FirmanNya, ‘Dengan tidak menyaringkan suara’; beginilah zikir sewajarnya dilakukan, bukan dengan cara memanggil, dengan suara kuat mahupun keras”. (Tafsir Ibnu Kathir, 3/544)