Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah. Orang yang bertaubat atas dosanya, bagaikan orang yang tidak berdosa (HR Ibnu Majah)


Rasulullah ﷺ bersabda:
“Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah. Orang yang bertaubat atas dosanya, bagaikan orang yang tidak berdosa.”
(Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)

Skim cepat kaya/money game/scam ~ kerana seekor monyet

KERANA SEEKOR MONYET 🐒

Hadami kisah ini. Dalam sebuah kampung, ada banyak monyet liar. Suatu hari datang seorang peniaga. Dia beritahu orang kampung mahu membeli monyet dengan harga RM100 untuk seekor.

Orang kampung fikir peniaga itu gila, mana ada orang sanggup beli seekor monyet dengan harga begitu. Seorang penduduk tangkap seekor monyet dan bawa kepada peniaga itu untuk lihat betul atau tidak kata-katanya. Apabila benar-benar dia mendapat bayaran RM100, maka lepas itu berita tersebut tersebar meluas. Maka, berduyun-duyunlah orang kampung pergi menangkap monyet dan menjualnya kepada peniaga tersebut.

Tak lama kemudian, peniaga itu umumkan bahawa dia akan membeli setiap ekor monyet dengan harga RM200 seekor. Bertambah kecoh jadinya. Penduduk tak senang duduk, asyik memburu monyet. Mereka tersenyum lebar bila dapat bayaran RM200 untuk seekor monyet yang dijual.

Kemudian, peniaga itu umumkan lagi berita mengejutkan. Dia akan beli dengan harga RM500 untuk seekor monyet. Bertambah rambang mata penduduk bila mendengarnya. Jadi macam orang sasau ke sana ke mari mencari monyet. Tapi, ketika itu hanya tinggal beberapa ekor saja monyet. Akhirnya, kesemua monyet telah habis ditangkap dan dijual kepada peniaga itu.

Orang kampung menunggu lagi, apa kejutan yang akan diumumkan peniaga itu. Si peniaga memberitahu, dia akan pulang ke kampung halamannya selama seminggu. Selepas itu, dia akan datang semula ke kampung itu dan akan membeli monyet yang ditangkap penduduk dengan harga RM1,000 seekor! Terkejut beruk penduduk kampung mendengarnya.

Sebelum pergi, peniaga itu berpesan pada seorang pekerjanya yang bertugas menjaga kesemua monyet dalam kurungan yang dibelinya sebelum itu. Lalu, peniaga itu pun pulang ke kampung halamannya...

Penduduk kampung pula separuh gila mencari monyet, tapi seekor pun tiada. Semua telah ditangkap dan dijual kepada peniaga itu.

Dalam kekalutan mereka mencari monyet itu, muncul pekerja peniaga tadi. Pekerja itu beritahu orang kampung, dia boleh jualkan secara rahsia monyet dalam jagaannya kepada mereka dengan harga RM700 seekor. Orang kampung boleh dapat untung RM300 bila menjualnya semula kepada peniaga itu nanti.

Sepantas kilat berita ini tersebar. Ibarat kata orang sekarang, jadi viral. Esoknya, punyalah panjang orang kampung berbaris hendak beli monyet daripada pekerja itu. Yang orang kaya siap beli secara pukal. Yang orang miskin pun tak nak lepaskan peluang, sanggup pinjam sana sini sebab nak beli monyet tu.

Akhirnya, pekerja itu berjaya menjual kesemua monyet dalam kandang itu dengan harga RM700 seekor.

Dengan gembira, penduduk kampung bawa pulang monyet-monyet yang dibeli tadi sambil pasang angan-angan dan kira-kira tentang keuntungan yang bakal mereka terima kelak.

Tapi, dari sehari ke sehari, peniaga yang dinanti tidak kunjung tiba. Mereka cari pula pekerjanya yang menjual monyet itu kepada mereka, pun sudah lesap hilang entah ke mana.

Akhirnya, barulah penduduk kampung sedar mereka sudah terbeli monyet liar yang tidak berguna dengan harga RM700 seekor dan tidak mampu menjualnya kepada sesiapa pun. Maka monyet pun tersengih mentertawakan ‘kecerdikan’ penduduk kampung itu.

🌺Moral cerita: Itulah realiti perniagaan yang digelar 'monkey business' yang banyak memperdayakan orang. Ingat, tiada jalan mudah atau jalan pintas untuk mendapatkan wang. Perlu ada usaha, kecekalan, kesabaran, doa dan tawakal kepada Allah.

"Hasbunallahu wa ni’mal wakil" حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ


حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
"Hasbunallahu wa ni’mal wakil."

"Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan DIA adalah sebaik-baik pelindung." (surah Ali-Imran: 173)

Diriwayatkan bahawa ketika Nabi Ibrahim diletakkan di atas tunku api, Jibril bertanya kepada baginda – "Apakah engkau memerlukan sesuatu pertolongan dariku?" Nabi Ibrahim lantas menjawab – “Aku tidak memerlukan apa-apa pertolongan darimu. Aku hanya memerlukan pertolongan dari Allah”.

Baginda kemudiannya menyebut kalimah "Hasbunallah wa ni’mal wakil" ketika dicampakkan ke dalam api, dan dengan izin Allah, api itu menjadi dingin dan selamatkan Nabi Allah itu dari dibakar. Subahannallah..

Nabi Muhammad s.a.w. juga diriwayatkan menyebut-nyebut kalimah Hasbunallah wa ni’mal wakil ketika di dalam perang Badar, sehingga Allah memberikan kememangan kepada baginda.

Lihatlah betapa pengasih dan penyayangnya Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang berserah diri dan bertawaqal kepadaNya. Seharusnya, bila kita dalam kesusahan, atau kemurungan, kita kembali pada Allah, berzikir, bersolat sunat, membaca Al-Quran dan bermunajat padanya. Kalimah "Hasbunallah wa ni’mal" wakil elok kita jadikan sebagai amalan, kerana ia mampu menenangkan jiwa dan menyejukkan hati. Ketenangan hakiki hanya boleh diperolehi dengan mendekatkan diri kepada pencipta kita, Allah s.w.t.

Allah memberikan pertolongan dan ketenangan kepada hamba-hambaNya yang mendekatkan diri kepadaNya. Dari sini terlihatlah bahawa Allah itu Tuhan Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Memberi Pertolongan, Maha Melindungi dan Maha Mengasihi ketika kita sebagai hamba, menyandarkan diri kita kepadaNya. Oleh itu, jika anda mendapat sebarang musibah, masalah, tekanan atau kemurungan, usahlah melakukan perkara-perkara di luar batasan dan meratapi masalah yang menimpa, kerana itu semua tidak dapat mengubat kelukaan hati, ia cuma menambahkan dosa dan kesakitan dalam hati anda.

Serahkanlah segala-galanya kepada Allah, DIA mengetahui apa yang terbaik untuk anda di dunia dan akhirat. Ubatilah jiwa anda dengan mengucapkan kalimah "Hasbunallah wa ni’mal wakil" berkali-kali hingga anda rasa tenang dan lapang.. Allah sentiasa bersama-sama orang yang mengingatiNya.. Marilah kita sama-sama mengamalkan kalimah ini setiap waktu dan setiap ketika, tidak kira waktu susah atau senang, moga rahmat dan keredhaan Allah sentiasa bersama-sama kita di dunia & akhirat.. Insya Allah.

Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat tahajjud dan amal-amal soleh)...


"Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami berikan kepada mereka."

(Quran, Surah As-Sajdah, 32:16)