Fahaman Liberalisme bercanggah dengan ajaran Islam

FAHAMAN LIBERALISME BERCANGGAH DENGAN AJARAN ISLAM


Liberalisme adalah satu bentuk fahaman sekularisme, iaitu memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas dari ketentuan agama.


Perkataan 'liberalisme' berasal daripada bahasa Inggeris bererti 'kebebasan'. Perkataan ini merujuk perkataan 'liberty' dalam bahasa Inggeris atau perkataan 'liberte' dari bahasa Perancis bermaksud bebas. Syeikh Sulaiman al-Khirasi dalam kitabnya, Libraliyah al-Khirasyi menyatakan, "Liberalisme ialah mazhab pemikiran yang mementingkan kebebasan individu."


Mazhab ini menegaskan mengenai wajibnya menghormati kebebasan individu, serta berkeyakinan tugas utama pemerintah ialah menjaga, melindungi kebebasan rakyat seperti kebebasan berfikir, kebebasan menyampaikan pendapat, kebebasan hak peribadi dan juga kebebasan individu.


Umumnya pemikiran liberal ini mempunyai tiga asas iaitu:

1. Kebebasan. 

Berdasarkan asas kebebasan ini bermaksud setiap individu bebas untuk melakukan apa sahaja perbuatan yang ingin dilakukan. Pihak pemerintah atau kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk membuat peraturan atau tegahan. Perbuatan yang dilakukan hanya mampu dibatasi atau disekat oleh undang-undang yang dibuat oleh individu itu dan tidak terikat dengan peraturan agama.


2. Individualisme. 

Aspek individualisme ini mengandungi dua pengertian, iaitu pengertian mengenai sikap keakuan (ananiyah) dan cinta terhadap diri sendiri. Pemahaman ini menguasai pemikiran orang Eropah sejak zaman kebangkitan Eropah sehingga abad ke-20 Masihi. Pengertian kedua bermaksud kemerdekaan diri dan ini adalah fahaman baharu dalam anutan liberalisme yang dipanggil sebagai pragmatisme.


3. Rasionalis (keutamaan menggunakan akal).

Penggunaan rasionalisasi atau dalam bahasa Arab disebut sebagai 'aqlaniyyun', iaitu mendewakan akal. Ini bermaksud penggunaan akal semata-mata dalam mencari dan mencapai sesuatu kepentingan dan manfaat tanpa memerlukan kekuatan yang lain.


Perkara ini dapat dilihat berdasarkan perkara seperti berikut:

(a) Kebebasan adalah hak yang dibangunkan atas kepentingan kebendaan semata-mata dan ia dapat diperoleh melalui penggunaan akal semata-mata.

(b) Urusan negara dipisahkan dengan hubungan dan keyakinan agama, kerana kebebasan mereka percaya, sesuatu perkara itu tidak dapat diperoleh melainkan dengan usaha melalui kekuatan fizikal dan kekuatan akal semata-mata. Mereka juga beranggapan, pihak pemerintah berkewajipan melindungi rakyat kerana pada pandangan mereka, negara terbentuk untuk menjaga hak asasi setiap individu dan negara perlu terpisah dari agama dan pemikiran mazhab sedia ada.


Berdasarkan kepada fakta dan kefahaman mereka, jelas kumpulan liberal ini hanya sebahagian kumpulan fahaman sekularisme yang dibangunkan di atas sikap berpaling daripada syariat Allah sebenar, kufur kepada ajaran dan petunjuk Allah dan rasulnya serta menghalang manusia lain mengikut syariat Allah sebenar.


Berdasarkan fakta, sejarah fahaman liberalisme ini mula masuk ke dalam fahaman dan pegangan Muslimin melalui penjajah Eropah dan juga penjajahan melalui pemikiran, disebut sebagai 'ghazwatul-fikr'. Gerakan pemikiran tokoh Barat mula menyerap dalam pemikiran orang Islam melalui pendekatan modenisasi serta menstrukturkan agama agar sesuai dengan modenisasi Barat.


Mengutamakan lojik akal daripada al-Quran, al-hadis


Oleh sebab itu pemikiran mereka berbeza-beza, sesuai dengan pengetahuan mereka terhadap modenisasi Barat. Golongan ini terus menjadikan akal sebagai sumber hukum dan asas kepada fahaman liberal. Golongan ini juga bersepakat mengutamakan logik akal daripada menggunakan al-Quran dan al-Hadis dalam hujah.

Ada dalam kalangan kumpulan liberal secara terus terang mengungkapkan niat mereka menghancurkan Islam kerana terpengaruh pemikiran liberalisme dan juga sekular. Ada yang berusaha membina keraguan dalam kalangan orang Islam dengan menggunakan fakta dan istilah mengelirukan atau dengan cara memutarbelitkan fakta dan realiti ajaran Islam dengan gaya dan pemikiran gerakan mereka.

Mereka memilih orang sesat dan keliru sebagai ketua atau jurucakap dan mereka menganggap ulama atau cerdik pandai Islam orang yang konservatif dan tidak tahu hak asasi manusia. Hakikat sebenarnya, golongan liberalisme ini ingin mengajak Muslim mengikut pemikiran Barat disebut sebagai westernisasi, sekali gus menghilangkan akidah Islamiah dalam diri umat Islam. Ini juga adalah satu jalan memudahkan musuh Islam menghancurkan Islam, sehingga mereka anggap fahaman liberal suatu yang mendesak, penting serta sangat sesuai dengan kemajuan Islam untuk masa hadapan.


Usaha pesongkan akidah


Begitulah usaha yang bersungguh-sungguh mereka lakukan untuk melemahkan Islam dengan memasukkan nilai liberalisme dan kemanusiaan dalam ajaran Islam dan juga akidah umat Islam. Hasrat itu diungkapkan oleh seorang orientalis bernama Gibb yang menyebut, "reformasi adalah program utama dari liberalisme Barat. Kita mengharapkan agar orientasi itu sebagai kaedah satu cara baharu untuk memasukkan nilai-nilai liberalisme dan humanisme dalam diri umat Islam".

Secara jelasnya fahaman liberalisme adalah pemikiran asing yang cuba masuk dalam aliran pemikiran Islam. Pemikiran ini menafikan wujudnya hubungan antara agama dengan kehidupan. Golongan ini menganggap agama sebagai rantai yang mengikat kebebasan hingga ia perlu dibuang.

Pemikir dan perintis fahaman liberal menyusun teras fahaman di luar garisan agama sehingga berani menyatakan, ada hubungan dengan agama walaupun jauh menyimpang daripada ajaran agama sebenar. Amat menghairankan wujud golongan mempertahankan fahaman liberalisme dan sanggup menyatakan fahaman Islam liberal sedangkan ia bertentangan dengan Islam.


Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Rahsia zuhud Hasan Basri

Hasan Basri ditanya: "Apa rahsia zuhudmu di dunia ini?"


Beliau menjawab: "Aku tahu rezeki ku tidak akan diambil orang lain, kerana itu hatiku selalu tenang.


Aku tahu amal ku tidak akan dikerjakan orang lain, kerana itulah aku sibuk beramal soleh.


Aku tahu ALLAH Ta'ala selalu memerhati ku, kerana itulah aku malu jika ALLAH melihat ku sedang dalam maksiat.


Dan aku tahu kematian itu sudah menunggu ku, kerana itulah aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuanku dengan ALLAH."

Kecerdasan spiritual

Kecerdasan spiritual melahirkan kepekaan yang mendalam, menciptakan kemampuan untuk menemukan makna hidup dan memperhalus budi pekerti.