Sunday, April 23, 2017

Kisah Pemberian

Dikisahkan bahawa seorang guru yang alim berjalan-jalan bersama salah seorang anak muridnya, menyusuri ladang.
Sedang berjalan, mereka terlihat sepasang kasut yang sudah usang. Kasut itu dipercayai milik lelaki fakir yang bekerja di salah sebuah ladang yang berdekatan, yang akan selesai bekerja sebentar lagi dan datang untuk mengambil kasutnya.
Lalu berkatalah murid itu kepada gurunya:
"Apa pendapat tuan jika kita usik tukang kebun ini dengan menyembunyikan kasutnya? Ketika dia datang untuk memakainya, dia tidak menemukannya. Mari kita lihat bagaimana reaksinya!”
Guru yang alim dan mulia itu menjawab:
"Anakku, tidak patut kita berseronok dengan kesedihan orang lain. Wahai anakku, kamu seorang yang kaya, dan kamu boleh sahaja menambah kebahagiaan untuk dirimu dan si fakir itu dengan memasukkan beberapa keping wang ke dalam kasutnya dan kamu bersembunyi supaya dapat menyaksikan bagaimana kesannya kepada pekerja itu."
Murid itu terpegun dengan usulan gurunya, dan dia pun meletakkan beberapa keping wang ke dalam kasut pekerja itu. Kemudian dia dan gurunya bersembunyi di sebalik pepohonan untuk melihat respon pekerja yang fakir itu.
Selang beberapa minit, datanglah pekerja yang fakir dengan berpakaian usang selepas menyelesaikan pekerjaannya di kebun tersebut untuk mengambil kasutnya.
Ketika dia memasukkan kakinya ke dalam kasut, dia terkejut kerana merasa ada sesuatu di dalamnya. Ketika dia mengeluarkan benda tersebut, dia mendapati ada kepingan wang!!
Dia melakukan perkara yang sama kepada kasut yang sebelah lagi, dan dia menemukan ada wang juga.
Dia menatap wang itu berulang kali, untuk memastikan dia bukan bermimpi …
Kemudian dia melihat ke setiap arah, namun tiada sesiapa pun di sekelilingnya!!!
Diletaknya wang itu ke dalam sakunya dan terus berlutut seraya memandang ke langit sambil menangis dan kemudian dia berteriak dengan suara yang tinggi, bermunajat kepada Tuhannya:
“Aku bersyukur kepada-Mu, wahai Tuhanku. Wahai yang mengetahui bahawa isteriku sakit dan anak-anakku kelaparan. Mereka belum mendapatkan roti. Engkau telah menyelamatkan aku dan anak-anakku daripada kebinasaan.”
Dia terus menangis dalam waktu cukup lama sambil memandang ke langit sebagai ungkapan rasa syukurnya atas kurnia dari Allah Yang Maha Pemurah.
Murid tadi, sangat terkesan dengan apa yang dilihat. Air matanya berlinangan...
Guru yang mulia terus bersuara:
“Bukankah sekarang kamu rasa lebih bahagia daripada jika kamu melakukan usulan pertama kamu untuk menyembunyikan kasut itu?”
Murid itu menjawab,
“Sesungguhnya tuan telah mengajar saya satu pelajaran yang tidak akan mungkin saya lupakan seumur hidup saya. Sekarang saya baru faham makna kalimah yang dulu belum saya fahami sepanjang hidup saya:
"Ketika kamu memberi, kamu akan mendapatkan kebahagiaan yang lebih banyak daripada kamu mengambil”.
Gurunya pun berkata kepadanya:
"Sekarang ketahuilah wahai anakku bahawa pemberian itu bermacam-macam:
• Memaafkan kesalahan orang di saat kita mampu membalas, adalah suatu pemberian.
• Mendoakan saudaramu di belakangnya (tanpa pengetahuannya) adalah suatu pemberian.
• Berusaha utk berbaik sangka dan menghilangkan sangka buruk darinya juga satu pemberian.
• Menahan diri dari membicarakan aib saudaramu di belakangnya, adalah satu pemberian.
Jadikanlah ini sebagai pelajaran.
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.net