Saturday, October 29, 2016

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Wasiat?

Hari ini jika ditanyakan kepada orang ramai “sudahkah anda berwasiat?” masih ramai di kalangan masyarakat Islam di Malaysia memberikan jawapan yang pelbagai. Ada segelintir masyarakat yang memahami bahawa soalan yang diajukan kepada mereka itu bermaksud ‘menulis wasiat’ dan ada segelintir yang lain memahami maksudnya sebagai pemberian sebahagian harta kepada bukan waris setelah berlakunya kematian. Itu tidak termasuk lagi yang memahami wasiat hanya untuk golongan berada saja.
Disini jelas menunjukan bahawa berlakunya kekeliruan dalam masyarakat tentang maksud perkataan wasiat itu sendiri. Jadi apakah yang dimaksudkan dengan soalan diatas sebenarnya? hal ini penting untuk anda ketahui bagi memudahkan anda membuat perancangan dan pentadbiran harta pusaka kelak.
WASIAT adalah satu perkataan yang membawa beberapa maksud sebenarnya. Asal perkatan ini adalah datangnya daripada Bahasa Arab. Mari kita tengok beberapa maksud perkataan ini.
  1. Pesanan

Salah satu maksud wasiat adalah pesanan. Ketika menulis wasiat elemen pesanan ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti pesanan untuk sentiasa mentaati Allah swt dan Rasulullah saw, pesanan untuk sentiasa menjaga hubungan baik sesama ahli keluarga dan sebagainya.
Bagi lelaki pastinya anda perasan setiap kali dalam khutbah Jumaat dibacakan akan ada ungkapan “Uushiikum waiyyaya bittaqwallah”. Perkataan ‘uushiikum’ itu bermaksud ‘aku berpesan kepada kamu semua’
  1. Pemberian Kepada Bukan Waris Faraid

Wasiat juga bermaksud pemberian. Pemberian ini adalah dikhususkan kepada penerima yang bukan tergolong dalam waris faraid. Ketika menulis wasiat adalah menjadi suatu galakkan kepada pewasiat untuk memperuntukkan maksimum 1/3 daripada keseluruhan hartanya untuk diwasiatkan kepada sesiapa sahaja dengan niat untuk melakukan amal jariah samada sedekah ataupun waqaf.
Mengapa terhad kepada 1/3 saja? Ini adalah berdasarkan sebuah hadis Rauslullah saw Dari mu’adz bin jabal ra beliau berkata:
“Rasulullah saw bersabda: sesungguhnya Allah mengizinkan kepadamu untuk menyedekahkan 1/3 dari hartamu ketika kamu hendak meninggal dunia untuk menambahkan lagi amal kebaikanmu.” (Riwayat Daruqutthni)
  1. Pemegang Amanah

Wasiat juga boleh dimaksudkan sebagai pemegang amanah. Oleh sebab itu dalam sebuah dokumen wasiat, ada elemen perlantikan WASI. Wasi inilah yang dikatakan sebagai pemegang amanah. Wasi dilantik dengan matlamat menjadi ‘orang tengah’ yang diberikan amanah oleh pewasiat agar mentadbir urus segala harta pusaka peninggalannya untuk diagihkan mengikut kaedah yang dikehendaki pewasiat.
Ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Sufiyan bin ‘Uyainah daripada Hsham bin ‘Urwah berkata:
“Terdapat 7 orang dalam kalangan sahabat Rasulillah saw, antaranya Saydina Osman, al-Miqdad dan Abdul Rahman bin ‘Auf telah membuat wasiat iaitu dengan melantik Zubair untuk menjaga harta mereka dan memberi nafkah kepada anak-anak mereka (menjaga kebajikan anak-anak mereka).”
Oleh yang demikian, perlantikan wasi merupakan elemen yang sangat penting dalam penulisan suatu dokumen wasiat yang menjadi penentu samada ianya sah atau sebaliknya dari sudut undang-undang. Ketiadaan elemen ini dalam dokumen wasiat anda akan merencatkan usaha pentadbiran harta pusaka kelak. 
  1. Dokumen Wasiat

Wasiat juga bermaksud dokumen wasiat itu sendiri. Ini adalah bersumberkan hadis Rasulullah saw yang bermaksud:-
“Seorang Muslim yang mempunyai sesuatu untuk diwasiatkan tidak sepatutnya tidur dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat disisinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis diatas juga memberi maksud supaya tiap-tiap seorang individu Muslim sangat dituntut untuk menulis wasiat bahkan ada sesetengah pendapat ulama’ mengatakan ianya menjadi wajib jika seseorang Muslim itu memiliki hutang. 
Kesimpulannya berdasarkan penjelasan ringkas diatas dapatlah difahami bahawa jika anda ditanya dengan soalan seperti diatas atau yang sama maksud dengannya maka secara umumnya anda bolehlah faham akan maksudnya iaitu merujuk kepada menulis wasiat. 

Agak janggal jika orang bertanyakan soalan diatas bagi maksud tujuan selain daripada itu. Diharapkan dengan artikel ringkas ini dapat memberikan pencerahan kepada anda tentang topik yang saya bawakan kali ini. Semoga ianya dapat membantu anda khususnya dalam hal berkaitan dengan perancangan dan pentadbiran harta pusaka.
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.blogspot.my