Wednesday, February 19, 2014

Sejarah Azan dan Iqamah


Azan  adalah satu lafaz khusus yang diamalkan oleh penganut agama Islam sebagai tanda untuk menyatakan masuknya waktu solat fardu supaya orang-orang Mukmin boleh diseru supaya bergesa berkumpul untuk mengerjakan solat fardu. Iqamah bermaksud sebutan tertentu untuk memberitahu para jemaah untuk mula mengerjakan solat.

Hukum melaungkan azan adalah sunat muakkad ketika hendak mendirikan solat (sembahyang) fardhu. Melaungkan azan juga adalah satu Fardu Kifayah bagi sesuatu kumpulan, dan tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi kaum wanita, disunatkan melakukan Iqamat sahaja kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah apabila meninggikan suara mereka.

Azan mula diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama Hijrah.

Dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Ibnu `Umar r. a. “Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan solat. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi s.a.w. telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah.

Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat, Ada yang mencadangkan ditiup serunai ataupun trompet; dan ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng. Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Rasulullah S.A.W. (kerana meniup serunai atau trompet dan memukul loceng adalah cara pemanggilan sembahyang bagi masyarakat Yahudi dan Nasrani (Kristian). Umar bin al-Khattab mencadangkan diteriakkan ucapan: “Telah datang waktu solat”. Usul ini telah diterima oleh Rasulullah S.A.W. tetapi Baginda menukar lafaz itu dengan lafaz “assolatu jami`ah” yang bererti “marilah solat berjemaah”.

Pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik untuk memberitahu solat dengan mengumandangkanlah Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)”. Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Rasulullah S.A.W. dan baginda bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang benar”. Nabi s.a.w. memerintahkan Bilal bin Rabah mengumandangkan azan tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar datang kepada Rasulullah S.A.W. dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti Abdullah bin Zaid.

Al-Bazzar meriwayatkan bahawa: “Rasulullah S.A.W. pada malam Israk telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s., Allah s.w.t. menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi”

Selain untuk tujuan sembahyang, azan dan Iqamat juga sunat dilakukan untuk beberapa perkara lain: Azan juga sunat dibisikkan ke telinga kanan kanak-kanak (lelaki/perempuan)yang baru lahir, begitu juga sunat diiqamatkan pada telinga kiri. Ini adalah kerana Nabi Muhammad S.A.W. telah mengazankan telinga Hasan ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah.

Azan juga digunakan sebagai isyarat untuk memaklumkan umat pada waktu mudarat ataupun bahaya seperti kebakaran ataupun waktu perang. Azan juga sering dilaungkan dalam keadaan gangguan dirasuk jin atau Syaitan.
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com

Rintihan Di Malam Hari - Syair Imam Bukhari

Di kala malam yang sunyi sepi bani insan tengah tenggelam dalam tidur dan mimpi
musafir yang malang ini tersentak bangun
pergi membasuh diri
untuk datang mengadap-Mu Tuhan.

Lemah lututku berdiri di hadapan-Mu
sedu sedan tangisku keharuan
hamba yang lemah juga mendekat
bersimpuh di bawah Duli Kebesaran.

Tuhan
Hamba tidak tahu pasti
bagaimana penerimaan-Mu
di kala mendengar pengaduan hamba
yang penuh dosa dan noda ini.

Dalam wahyu yang Engkau nuzulkan
Engkau berjanji untuk sedia memberi menerima pengaduan
dan sudi memberi keampunan.

Dan Muhammad Rasul-Mu yang mulia itu
ada mengatakan:
Ampunan Tuhan lebih besar dari kesalahan insan
hamba percaya pada tutur kepastian itu
sebab itu hamba datang wahai Tuhan
bukan tidak redha dengan ujian
cuma hendak mengadu pada-Mu
tempat hamba kembali nanti
memohon sakinah, maghrifah dan mutmainna.

~ Imam Bukhari
---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com