Friday, April 29, 2011

Pengurusan Kewangan Islam



Pengurusan dan perancangan adalah suatu yang amat mustahak dalam semua urusan kehidupan lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan harta atau kewangan. Kegagalan mengurus dan merancang sebenarnya seseorang itu mengurus dan merancang untuk kegagalan. Kegagalan merancang harta atau kewangan dengan bijak dikenal pasti antara punca mudahnya seseorang itu terperangkap dengan pelbagai masalah dalam kehidupan.

Seseorang yang mempunyai perancangan dalam menguruskan kewangannya akan memperoleh gambaran yang jelas tentang kedudukan kewangan terkininya, memberi hala tuju yang tepat mengenai matlamat kewangan yang ingin dicapai yang akhirnya akan membolehkan seseorang itu mencapai matlamat yang diharapkan secara lebih efektif.

Islam sebagai agama yang sempurna mengajar umatnya agar sentiasa mempunyai perancangan dalam menguruskan hal ehwal kehidupan mereka. Hal ini dapat dilihat menerusi al Quran dan sunnah. Antaranya firman Allah dalam surah Yusuf ayat 67.

Pengajaran daripada ayat di atas antara lain ia menyentuh tentang persoalan perancangan di mana Allah menjelaskan bahawa dalam menguruskan kehidupan jangan bergantung kepada satu pendekatan semata-mata tetapi perlulah mempelbagaikan pendekatan dan strategi. Dan setelah segala persiapan dan perancangan dilakukan maka hendaklah bertawakal kepada Allah.

Ayat 47-48 di dalam surah yang sama Allah menegaskan pentingnya perancangan sebelum menghadapi atau melakukan sesuatu malah perlu bijak dalam menguruskan kehidupan agar tidak susah di kemudian hari.

Di dalam ayat 9, surah al-Nisa' juga Allah tegaskan perkara yang sama bahawa perlunya mempunyai perancangan untuk masa depan keluarga dan hendaklah bijaksana dalam menguruskan harta/kewangan. Sebagaimana dalam surah al Hasyr ayat 18.

Ayat ini cukup jelas menyentuh tentang kepentingan perancangan dalam kehidupan, kerana masa depan bergantung kepada perancangan kita hari ini selain daripada ketentuan Allah.

Harta dalam Islam

Dalam Islam mengurus dan membelanjakan harta adalah antara amanah Allah. Ia adalah satu keperluan yang bertujuan mencapai kehidupan yang diberkati. Perspektif yang tepat terhadap harta akan memastikan seseorang itu mencapai bahagia di dunia dan di akhirat menerusi hartanya.

Harta mempunyai kedudukan yang sangat mulia di sisi Islam. Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana.

Dari kaca mata Islam, harta adalah alat untuk menjamin keselesaan hidup manusia di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Ia juga merupakan wasilah untuk mencapai takwa. Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia itu sama ada bersyukur atau sebaliknya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 9.

Di samping mengajar manusia agar mempunyai perspektif yang jelas terhadap harta, Islam juga mengajar manusia agar mempunyai pandangan yang betul terhadap kehidupan. Hal ini penting bagi memastikan kehidupan mereka bermatlamat dan arah tuju yang jelas.

Islam menggariskan agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk membangun dan membina kehidupan yang bahagia dan harmoni. Ini dijelaskan dalam surah Hud ayat 61.

Islam juga menyeru agar menjadikan kehidupan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat".

Di dalam ajaran Islam, dunia adalah tempat sementara yang hanya sebagai jambatan untuk ke akhirat, dunia sebagai tempat bercucuk tanam dan akhiratlah tempat untuk menuainya. Walaupun dunia bersifat sementara, Islam dengan pelbagai kaedah dan pendekatan mengajar umat manusia supaya mempunyai status sosial dan ekonomi yang baik.

Oleh itu, Islam memerintahkan supaya harta dan kehidupan diuruskan dengan baik dan bijaksana. Jika sebaliknya ia akan menjadi faktor keruntuhan manusia dan kemurkaan Allah seperti dalam surah Saba' ayat 15 - 16 dan surah al-Nisaa' ayat 10 dan 161.

Konsep pengurusan harta

Secara umumnya ada lima aspek atau elemen utama pengurusan harta secara Islam. Pertama, Penghasilan Harta (Wealth Creation). Sebagai seorang Muslim yang sejati, Islam menggalakkan umatnya mencari harta dan tidak hanya pasrah pada qada' dan qadar seperti di dalam surah al-Juma'ah ayat 10.

Kedua, Pengumpulan Harta (Wealth Accumulation) atau dengan erti yang lain bermaksud pengembangan harta. Adalah tidak wajar jika harta yang kita ada disimpan begitu saja tanpa mengembangkannya. Pengembangan harta boleh dilakukan melalui simpanan dan pelaburan di institusi kewangan.

Malah Islam menggalakkan umatnya untuk membuat simpanan serta melaburkannya sebagaimana dalam surah Yussuf ayat 47-48.

Ketiga, Perlindungan Harta (Wealth Protection). Setiap manusia harus mempunyai matlamat dalam kehidupan dan pasti salah satu daripadanya ialah untuk dapat kehidupan yang selesa dan terjamin dari segi kewangan sepanjang hidup. Sebagai jaminan hidup di dunia ini selain mempunyai simpanan dan harta yang mencukupi, diri kita dan harta kita juga harus dijaga daripada sebarang musibah dan perkara-perkara yang tidak diingini.

Keempat, Pengagihan Harta (Wealth Distribution). Islam memperuntukan beberapa cara atau kaedah untuk pengagihan harta sebelum atau selepas mati. Antara instrumen perancangan harta adalah wakaf, wasiat, hibah dan sebagainya.

Kelima, Penyucian Harta (Wealth Cleansing). Sebagai seorang Muslim kita tidak sewenang-wenang membelanjakan atau mempergunakan mengikut kehendak dan hawa nafsu. Ini kerana setiap harta ada hak-hak yang tertentu untuk dibahagikan seperti berzakat dan amal jariah kita seperti sedekah. Ini terbukti dalam surah al-Baqarah ayat 195.

Pengurusan kewangan Islam

Pengurusan kewangan yang bijak itu adalah yang dapat mengimbangi perbelanjaan dan pengurusan hutang, pelaburan yang mengikut syariah dan pendapatan yang mendapat keberkatan. Perlu diingatkan bahawa merancang dan mengurus ini merupakan sunnah.

Dari sudut semasa, industri perancangan kewangan telah lama wujud di Malaysia tetapi bukan dalam bentuk satu disiplin profesional seperti yang ada sekarang. Diperakui oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) sejak tahun 2004 apabila SC menjadikan perancangan kewangan sebagai satu aktiviti yang memerlukan lesen.

Perancangan kewangan adalah satu aktiviti yang dikawalselia oleh undang-undang. Individu yang ingin menjadi "Perancang Kewangan Bertauliah" perlu mendapat lesen daripada SC (Jadual 2, Capital Markets and Services Act 2007).

Secara lebih mendalam, perancangan kewangan itu merujuk kepada 'Perancang Kewangan' sebagai "seseorang yang membuat analisis kedudukan kewangan individu lain dan mencadangkan perancangan pelan kewangan agar individu berkenaan mencapai matlamat dan objektif kewangannya." (Suruhanjaya Sekuriti).

Secara ringkas, perancangan kewangan Islam itu ialah "satu proses di mana matlamat kewangan keseluruhan individu digunakan untuk membangun dan melaksanakan pelan yang holistik untuk mencapai matlamatnya yang mematuhi syariah dan akhirnya mendapat keberkatan daripada Allah" (Mahadzir Ahmad, majalah VISI, Bilangan 95)

Perancangan kewangan yang didasarkan kepada Islam matlamat akhirnya menjadikan aspek kewangan sebagai satu wasilah mencapai hasanah di dunia dan di akhirat. Justeru, untuk memastikan matlamat ini dapat dicapai maka pelan perancangan perlu mengambil kira perbelanjaan untuk kemaslahatan sendiri seperti keperluan jasmani dan rohani, perbelanjaan untuk kemaslahatan orang lain seperti nafkah, sedekah dan juga perbelanjaan untuk kemaslahatan umum seperti membina masjid, hospital dan sebagainya.

Secara yang lebih sistematik perancangan kewangan dari perspektif Islam perlu mengambil kira komponen-komponen berikut; pengurusan kredit dan aliran tunai, pengurusan risiko dan perancangan takaful, perancangan pelaburan Islam, perancangan zakat dan cukai , perancangan persaraan dan perancangan harta pusaka dan wakaf.

Secara umumnya, ada dua aspek utama yang dititikberatkan oleh Islam dalam hal-hal yang bersangkutan dengan pengurusan harta, iaitu bagaimana harta itu diperoleh. Ia mestilah menerusi kaedah pemilikan yang sah dan jual beli, pelaburan secara Islam, hadiah dan sebagainya.

Aspek kedua adalah bagaimana harta itu dibelanjakan, sama ada untuk kebaikan ataupun untuk perkara-perkara yang dilarang Allah. Perkara ini dapat dilihat menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak akan berganjak kedua-dua kaki anak adam pada hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya pada apa ia dihabiskan, tentang usia mudanya pada apa digunakan dan tentang hartanya dari mana ia diperoleh dan bagaimana ia dibelanjakan dan tentang ilmunya pada apa ia diamalkan?"

Oleh itu, aspek utama yang perlu diambil kira di dalam perancangan kewangan Islam adalah memperoleh keberkatan. Harta yang melimpah ruah tidak membawa apa-apa erti jika tidak ada padanya keberkatan, malah harta boleh menjadi fitnah, boleh menjadikan seseorang itu sentiasa berasa tidak cukup sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuklah rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Keberkatan

Sebaliknya, harta yang berkat walaupun sedikit akan membawa ketenangan dan memberikan kesan yang baik dalam segenap kehidupan.

Keberkatan bermaksud mendapat restu, keredaan atau rahmat dari Allah SWT. Bagi mendapat keberkatan dan rahmat tersebut, sewajarnya kita mematuhi serta mentaati setiap perintah Allah.

Namun keberkatan boleh hilang jika melakukan perkara yang menyalahi apa yang digariskan oleh Allah SWT seperti terlibat dengan riba dan melakukan dosa serta mengabaikan solat.

Kesimpulannya, untuk menikmati kehidupan yang selesa dan bahagia kita perlulah mempunyai perancangan kewangan yang sempurna. 

---
Consultant-Speaker-Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Alfalah Consulting - Kuala Lumpur : www.alfalahconsulting.com
Islamic Investment Malaysia: www.islamic-invest-malaysia.com
Pelaburan Unit Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com